Seorang lelaki di bandar Seville, Sepanyol, dinobatkan sebagai wira selepas mempertaruhkan nyawanya dengan memanjat sebuah bangunan untuk menyelamatkan dua kanak-kanak daripada kebakaran. Video kejadian itu menjadi tular di Twitter dan Instagram minggu lalu. Menurut laporan berita tempatan, kebakaran berlaku pada Ahad lalu, 29 Januari di tingkat dua bangunan kediaman yang terletak di kawasan kejiranan La Macarena, di Moguer Street di Seville. Satu keluarga empat orang, dengan dua anak berusia tiga dan tujuh tahun terperangkap dalam rumah itu, kata laporan di elmundo.es, sebuah laman web berita Sepanyol. Klip pendek yang dirakam oleh penonton dan disiarkan di Twitter menunjukkan asap tebal keluar melalui tingkap salah satu bilik. Ketika orang ramai mula berkumpul di sekeliling bangunan itu, salah seorang jiran yang kemudiannya dikenali sebagai Jairo dengan pantas memanjat bangunan itu. Mempertaruhkan nyawanya sendiri, dia berhati-hati mengimbangi dirinya dan menghulurkan tangannya ke arah tingkap dalam usaha untuk mencapai dua kanak-kanak itu. Dia berjaya mencapai dua kanak-kanak bawah umur itu dengan bantuan bapa mereka dan memindahkan mereka ke tempat yang selamat satu demi satu. Ketika api mula marak, pihak bomba tiba di tempat kejadian dan menyelamatkan ibu bapa mereka. Bapa kanak-kanak itu melompat ke atas tilam yang dibaringkan oleh anggota bomba dan jiran di atas tanah. Dia kemudian dirawat kerana terhidu asap, kata laporan. Ibu mangsa sempat menuruni tangga yang dibawa oleh jiran ke tingkap. Menurut beberapa laporan media tempatan, agensi bantuan berkata, kebakaran itu menyebabkan seramai 15 orang cedera. Video itu turut dikongsi laman Instagram @goodnews_movement, menggelar Jairo sebagai "Hero of Seville" dalam kapsyen. "Lelaki itu hanya melakukan aksi paling lagenda sepanjang masa. Letakkan dirinya dalam bahaya untuk orang lain," tulis @mannyp3na. - Gulfnews Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube