KEMATIAN seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun kerana dibunuh berpunca daripada suspek berang dengan tindakan bapa mangsa yang memainkan lagu terlalu kuat. Jiran berusia 43 tahun itu menculik dan membunuh mangsa berusia lima tahun dalam kejadian di Sulawesi Utara, Indonesia. Ketua Perhubungan Awam Polis Wilayah Sulawesi Utara, Kombes Pol Jules Abraham Abast berkata, kanak-kanak itu dibunuh dengan cara mencekik lehernya. "Selepas itu pelaku membuang mayat mangsa di sekitar Ponompiaan, Bolmong, dan kemudian melarikan diri ke kawasan Gorontalo. "Motif dipercayai pelaku berang dengan bapa mangsa kerana sering bermain muzik dengan terlalu kuat," kata Jules, pada Jumaat. ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak perempuan dibunuh... mayat dirogol, ditinggal dalam semak Kejadian bermula pada Ahad lalu sekitar pukul 6 petang, mangsa meminta wang daripada bapanya untuk membeli makanan ringan di kedai di belakang rumah. Namun beberapa lama kemudian anaknya masih tidak pulang ke rumah, dan bapanya meminta bantuan penduduk kampung untuk melakukan pencarian. Pemeriksaan turut dilakukan di rumah-rumah penduduk. Ketika melakukan pemeriksaan di rumah suspek, mereka menjumpai bungkusan makanan ringan yang dibeli mangsa. "Kemudian di dalam bilik terdapat kesan darah pada cadar. Jadi timbul dakwaan bahawa suspek membawa mangsa," jelas Jules. Mayat mangsa ditemukan di kawasan kebun, pada Khamis. Ketika ditahan, tiada penyesalan pada wajah suspek, malah minta dirinya dikenakan hukuman mati. Suspek mengaku membunuh dan membuang mayatnya. Dalam laporan media tempatan, suspek didakwa merogol mayat mangsa. Katanya, motif pembunuhan kerana tidak puas hati dengan bapa mangsa yang sering memainkan muzik dengan terlalu kuat. "Jadi saya sudah tertekan. Dia pasang muzik kuat-kuat, sangat mengganggu," katanya. Sebagai peringatan, perbuatan ini bukan sahaja salah dari segi undang-undang malah turut haram dalam Islam, dan semua pihak perlu menjauhinya. - Kompas Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube