SEORANG pelajar berusia 17 tahun menyentuh hati orang ramai selepas dia merakamkan ucapan selamat tinggal kepada orang tersayang ketika dia terperangkap di bawah runtuhan rumahnya semasa gempa bumi minggu lalu. Taha Erdem dan keluarganya sedang tidur lena apabila gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda kampung halaman mereka di Adıyaman pada awal pagi 6 Februari lalu. Taha dikejutkan oleh gegaran ganas yang menggegarkan bangunan pangsapuri empat tingkat di kawasan kejiranan di tengah bandar Anatolia. Dalam masa 10 saat, Taha, ibu, bapa dan adik lelaki serta adik perempuannya menjunam ke bawah bersama bangunan itu. Dia mendapati dirinya sendirian dan terperangkap di bawah banyak runtuhan, dengan gelombang gempa susulan yang kuat mengalihkan serpihan, menghimpit ruangnya di tengah-tengah kucar-kacir konkrit dan keluli. Taha mengeluarkan telefon bimbitnya dan mula merakam ucapan selamat tinggal terakhir, berharap ia akan ditemui selepas kematiannya. "Saya rasa ini adalah video terakhir yang akan saya rakam untuk anda," katanya dari ruang sempit, telefonnya bergegar di tangannya apabila gegaran menggegarkan bangunan yang runtuh itu. Menunjukkan ketabahan dan keberanian yang luar biasa untuk seorang remaja yang mempercayai dia sedang mengucapkan kata-kata terakhirnya, dia bercakap mengenai penyesalannya dan perkara yang dia harap dapat dilakukan jika dia terus hidup. Semasa video itu, jeritan orang lain yang terperangkap boleh didengari. "Saya sangat gementar. Kematian, kawan-kawanku, datang pada masa yang tidak disangka-sangka," kata Taha, sebelum membaca doa dalam bahasa Arab. "Banyak perkara yang saya kesalkan. Semoga Allah mengampuni segala dosaku. Jika saya keluar dari sini hidup-hidup hari ini, banyak perkara yang saya ingin lakukan," katanya. Taha berjaya diselamatkan tidak lama selepas itu oleh pasukan penyelamat dan rasa bersyukur tidak terhingga. - abc.news Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube