suria

Remaja hilang pada tahun 1976, mayat akhirnya ditemukan bersama kereta dalam tasik

Misteri kehilangan lelaki pada tahun 1976 akhirnya terjawab. Foto: Daily Star

MAYAT seorang pelajar yang telah hilang selama 47 tahun akhirnya ditemukan dan identitinya berjaya dikenal pasti oleh pihak berkuasa.

Penemuan itu berjaya dibuat setelah pihak berkuasa menarik keluar kereta miliknya yang terhumban ke dalam terusan air.

Walaupun begitu, punca kematiannya masih kekal misteri.

Kyle Clinkscales, 22, hilang tanpa jejak pada malam 27 Januari, 1976.

Kelibatnya kali terakhir dilihat di tempat kerjanya di LaGrange, Georgia, Amerika Syarikat.

Pemuda itu dijangka akan pulang ke Universiti Auburn yang terletak kira-kira 35 batu dari kampung halamannya dengan memandu keretanya iaitu Ford Pinto 1974 berwarna putih.

Namun begitu, Kyle tidak pernah tiba ke destinasi yang ditujunya itu.

Pihak berkuasa menghabiskan masa bertahun-tahun mencari jasad dan kenderaannya tetapi ia tidak pernah dijumpai.

Satu keajaiban apabila penemuan jasad Kyle didedahkan pada bulan Februari tahun ini dan ia menjadi penutup kepada ahli keluarga dan rakan-rakan Kyle mengenai kisah misteri kehilangannya.

Walaupun begitu, bapa Kyle meninggal dunia pada tahun 2007 dan ibunya meninggal dunia pada bulan Januari tahun ini, mereka tidak dapat mengetahui apa sebenarnya yang terjadi kepada anak kesayangan mereka.

"Semua orang tertanya-tanya adakah dia akan muncul suatu hari nanti di mana-mana tempat.

"Kyle merupakan seorang yang sangat penyayang dan baik dengan semua orang," ujar seorang rakan Kyle. - Daily Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain