suria

Wanita ceraikan suami tak berhati perut, enggan jual rumah demi biayai rawatan anak sakit tenat - “Dia akan mati, tak perlu dirawat”

Anak pasangan berkenaan menghidap penyakit anemia aplastik dan memerlukan kos rawatan yang besar.

SEORANG wanita di China bertindak menceraikan suaminya selepas lelaki itu enggan menjual rumah bagi membiayai kos rawatan demi menyelamatkan anak lelaki mereka yang terlantar di hospital.

Wanita yang tidak didedahkan identiti dari wilayah Fujian, tenggara China itu, telah cuba mengumpul hampir $144,000 (RM644,000) untuk membayar kos pembedahan anaknya yang menghidap anemia aplastik, iaitu penyakit berkaitan darah yang jarang berlaku.

Kerana wang yang diperlukan masih tidak mencukupi, wanita itu ingin menjual rumah yang dimiliki bersama suaminya, tetapi cadangannya ditolak oleh lelaki berkenaan, lapor Star Video.

Wanita itu berkata, anak mereka, Xiaolin, 22, disahkan menghidap penyakit berkenaan pada 2017, dan kesihatannya merosot sejak Mei tahun lalu.

Perbelanjaan perubatan Xiaolin adalah $1,100 (RM4,919) sebulan, dan wanita itu sendiri terpaksa melakukan dua pekerjaan untuk mengumpul wang.

Bagaimanapun, dia terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anaknya secara sepenuh masa kerana keadaan pemuda itu kritikal.

"Dia akan mati dalam setengah tahun lagi, jadi tidak perlu mendapatkan rawatan," kata suami wanita berkenaan, sekaligus membuatkannya terkejut.

Malah suami wanita itu berkata dia mungkin bersetuju untuk menjual rumah mereka, tetapi ingin menuntut lebih separuh wang hasil daripada penjualan hartanah itu.

"Jika kamu mahu jual rumah, saya layak mendapat lebih separuh daripada wang itu (untuk diri saya sendiri)," katanya sebagaimana yang dilaporkan.

Malah wanita itu mendakwa suaminya langsung enggan membantunya membiayai kos rawatan seandainya permintaan tersebut tidak dipenuhi.

Kisah pasangan berkenaan menjadi tular di media sosial di negara berkenaan.

Rata-rata warga maya menyifatkan lelaki tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan diri sendiri. - Thestar/SCMP

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain