suria

Hampir 3 dekad buat kerja jijik, sasar kanak-kanak perempuan dan budak autistik... Pemandu bas pedofilia usia 68 tahun akhirnya dipenjara

Tan dihukum penjara selama 12 tahun kerana mencabul kanak-kanak.

SEORANG warga emas dari Singapura yang disifatkan sebagai 'pemandu bas sekolah pedofilik' dijatuhi hukuman penjara 12 tahun pada hari Rabu (1 Mac).

Terdahulu pada Disember 2022, Gary Alexander Tan, 68, mengaku bersalah atas enam pertuduhan, termasuk beberapa pertuduhan mencabul. Sementara itu sembilan pertuduhan lain dipertimbangkan semasa penghakiman.

Tan, yang menyasarkan gadis sekolah dan lelaki autistik untuk dijadikan mangsa pada mulanya dikenakan hukuman penjara 11 tahun tujuh bulan dengan tiga sebatan.

Bagaimanapun memandangkan Tan tidak boleh disebat kerana berusia lebih 50 tahun, dia diperintahkan untuk menghabiskan lima bulan tambahan di penjara sebagai ganti kepada hukuman sebatan.

Ini bermakna dia akan dipenjarakan selama 12 tahun secara keseluruhan.

Bapa kepada tiga anak itu memulakan jenayahnya antara 1993 dan 1995, di mana ketika itu dia mencabul seorang gadis berusia empat hingga enam tahun.

Mangsa dalam kes itu memaklumkan kepada pihak berkuasa pada 25 Januari 2023, selepas sabitan kesalahan Tan. Dokumen mahkamah tidak mendedahkan mengapa dia akhirnya memutuskan untuk berbuat demikian.

ARTIKEL BERKAITAN: https://www.mstar.com.my/global/dunia/2022/02/03/pedofilia-terlepas-hukuman-penjara-kerana-hidap-cerebral-palsy

Tan mencabul seorang gadis lain untuk kali kedua ketika bermalam di rumah seorang rakan perempuannya pada 2006. Semasa wanita itu tidur, dia mencabul anak perempuan kepada wanita berkenaan, yang ketika itu berusia antara tiga dan lima tahun.

Pada 2009, Tan menjadi pemandu bas untuk murid tadika berkeperluan khas.

Walaupun kontraknya tamat pada 2012, beberapa ibu bapa terus menggunakan khidmatnya untuk mengangkut anak-anak mereka ke sekolah.

Penumpangnya termasuk seorang budak lelaki autisme, yang berumur antara empat dan enam tahun. Tan mencabul budak lelaki itu antara 2013 dan 2014.

Antara perbuatan keji lain, Tan banyak menyimpan gambar kanak-kanak dan pelajar sekolah, yang diambil dari kedudukan bawah skirt mangsa.

Pada 12 Januari 2017, Tan yang masih menjadi pemandu bas ketika itu mencabul seorang pelajar perempuan dan merakam video dirinya melakukan kesalahan itu.

Dia mencabul mangsa sekali lagi pada 16 Januari 2017 dan merakam video perbuatan itu.

Tiga hari kemudian, dia menunjukkan kepada gadis itu gambar dirinya berpakaian dalam.

Mangsa memberitahu perkara itu kepada ibu, ibu saudara, datuk dan neneknya. Ibu mangsa kemudian membuat laporan polis.

Pihak polis menangkap Tan serta merampas telefon bimbitnya dan mendapati ia mengandungi banyak video aib ramai mangsa. - Thestar/Thestraitstimes

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain