SEORANG budak lelaki berusia sembilan tahun maut angkara menjadi mangsa kekejaman ibu tirinya sendiri. Lebih tragis, mayatnya ditemui dalam keadaan yang menyayat hati iaitu kepala terpisah daripada badan di bawah rumah. Kejadian tersebut berlaku di Pulau Sebatik, wilayah Nunukan, Kalimantan Utara, Indonesia. Terdahulu, kelibat budak lelaki berkenaan yang tidak kelihatan mencetuskan tanda tanya guru kelas al-Quran apabila dia tidak hadir ke kelas pada 25 Februari lalu, sebagaimana kebiasaan. Ini kerana mangsa dikatakan seorang yang rajin dan tidak pernah sekalipun ponteng kelas mengaji yang dianjurkan gurunya. Justeru, guru berkenaan mencari mangsa di rumah namun keluarganya juga tidak tahu menahu. Bapa mangsa kemudian melaporkan kehilangan anaknya di Balai Polis Sektor Sebat Barat. Polis menggerakkan usaha mencari mangsa selepas dilaporkan hilang, tetapi tidak dijumpai. Sehinggalah 4 Mac lalu, bau busuk dari bawah rumah mangsa membongkar misteri kehilangannya di mana jasadnya ditemui oleh penduduk kampung dalam keadaan tragis. Polis yang melakukan siasatan mendapati mangsa maut akibat dipukul ibu tirinya yang berusia 35 tahun. Menurut polis, motif pembunuhan adalah kerana si ibu tiri cemburu suaminya lebih menyayangu mangsa. Jika sabit kesalahan, suspek berdepan dengan hukuman penjara selama 15 tahun atau denda maksimum Rp 3,000,000,000 (RM871,991) atau kedua-duanya sekali. - Acheh.tribunnews Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube