MALANG tidak berbau. Hanya kerana mahu mencipta kandungan media sosial, seorang wanita akhirnya terbunuh sambil disaksikan rakannya menerusi panggilan video. Semuanya bermula apabila mangsa cuba melakonkan aksi bunuh diri untuk dikongsikan di media sosial. Kejadian malang itu dilaporkan berlaku di Kampung Cibeber, Bogor, Jawa Barat di Indonesia baru-baru ini. Ketua Polis Leuwiliang, Agus Supriyanto, berkata wanita itu menyampaikan niatnya untuk melakonkan aksi bunuh diri itu kepada rakannya. "Mangsa yang berusia 21 tahun itu ditemukan mati tergantung pada kain yang diikat pada bahagian pengudaraan di atas pintu. "Wanita yang bekerja sebagai pelayan kafe itu menunjukkan aksi gantung diri itu kepada rakannya menerusi panggilan video. "Ketika itulah mangsa tergelincir daripada kerusi yang dipijaknya hingga menyebabkan dia tergantung," katanya seperti dilaporkan Kompas. Tambah Agus, rakan mangsa yang masih berada dalam panggilan video itu terkejut dan bergegas ke rumah wanita itu bagi menyelamatkannya. Bagaimanapun, cubaan untuk menyelamatkan mangsa gagal. Selepas bedah siasat, tiada tanda jenayah atau kekerasan berlaku pada anggota badan wanita itu. Mayat mangsa diserahkan kepada keluarga dan menganggap kematian wanita itu sebagai satu kemalangan. Sebagai peringatan, perbuatan bunuh diri adalah haram dalam Islam dan semua pihak perlu menjauhinya. Pencipta kandungan atau 'content creator' di media sosial dinasihatkan agar lebih menjaga sensitiviti dan membataskan hiburan yang mahu ditonjolkan kepada masyarakat. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube