SIAPA sangka seorang suami sanggup mengurung isterinya selama 11 bulan. Berat badan wanita malang itu bukan sahaja menyusut dan wajahnya pucat, malah dalam keadaan terpinga-pinga sewaktu ditemukan. Dalam kejadian yang berlaku di Situbondo di Jawa Timur, Indonesia, isteri berusia 23 tahun itu dikurung selama 11 bulan sejak April 2022 sehingga Mac tahun ini. Suspek mengambil kesempatan di atas keadaan mangsa yang ketika itu menghadapi masalah dengan keluarganya lantas membuat keputusan untuk keluar dari rumah. Kononnya mahu membantu, suspek kemudian memujuk mangsa untuk mengikutnya, malah menjanjikan pekerjaan. "Saya tak tahu bila proses kahwin, tiba-tiba kami kahwin macam tu, dia yang uruskan," ujar mangsa. ARTIKEL BERKAITAN: Kurung kakak OKU dalam kandang... rumah bernajis jadi sarang serangga, ular Mangsa beberapa kali merayu untuk pulang tetapi suspek berkeras tidak membenarkannya kerana tidak mahu kehilangannya. "Dia beritahu lebih baik jika saya mati supaya tiada siapa boleh memiliki saya," katanya yang pernah dipukul dan mulut ditutup apabila lelaki berkenaan mengamuk. Menurut ibu mangsa, sepanjang 11 bulan itu dia bimbang anaknya itu hilang dan meninggal dunia. Walau bagaimanapun, dia hanya berserah kepada Tuhan dan berdoa setiap malam. "Anak dan cucu saya dikurung. Mereka juga jarang diberi makanan," katanya. Penemuan mangsa apabila sepupunya dapat mengesan lokasi berdasarkan telefon bimbit mangsa tiba-tiba aktif. Sepupunya kemudian meminta supaya dikongsi lokasi dan memecah masuk ke rumah mangsa dikurung. "Itulah pertama kali saya melihat mangsa dan anaknya yang sangat pucat, badannya sangat kurus," kata sepupu mangsa, Sofyan. Sementara itu, bapa mangsa mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan. "Perkahwinan tidak berdaftar adalah tidak sah kerana tiada wali atau saksi daripada keluarga kami. "Dia sudah ada isteri dan anak, itu yang membuatkan saya sejak awal tidak bersetuju dia datang mahu anak saya," katanya. Ketua Unit Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak (PPA) Polis Situbondo, Aipda Indah pula berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kes yang dilaporkan mangsa. Sebagai peringatan, perbuatan berbentuk zalim dan keganasan ini bukan sahaja salah dari segi undang-undang malah turut dilarang dalam Islam, maka semua pihak perlu menjauhinya.- Kompas Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube