suria

Kecoh guru cuba bunuh diri, tipu pelajar pakej pelancongan ke Jepun lebih RM260,000

Sekumpulan pelajar terkandas di lapangan terbang.

POLIS menahan seorang guru yang cuba membunuh diri, selepas didakwa menipu 40 pelajarnya dengan memperdaya mangsa membeli pakej pelancongan ke Jepun.

Suspek yang berusia 43 tahun, Charat, dilaporkan merupakan guru dari sebuah sekolah menengah di daerah Prawet di Bangkok, Thailand.

Penipuan tersebut membabitkan kerugian 2 juta baht (RM261,784).

Penahanan dibuat susulan seorang mangsa membuat perkongsian mengenai perkara itu di laman Twitter.

Mangsa mendedahkan seorang guru mengajak sekumpulan pelajar untuk menyertai lawatan ke Jepun yang menelan belanja 50,000 baht (RM6,545) setiap seorang.

Dia memberi jaminan kepada pelajar bahawa keluarganya memiliki agensi pelancongan, dan semuanya akan disediakan dengan baik.

Pada hari pelepasan, Charat meminta semua orang berjumpa di Lapangan Terbang Suvarnabhumi tiga jam sebelum penerbangan.

Bagaimanapun, dia tidak muncul di lapangan terbang, menyebabkan pelajar dan ibu bapa mereka terkandas.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru desa tercantik didakwa tipu wang sumbangan orang ramai

Mereka kemudian menyemak dengan syarikat penerbangan dan mendapati penerbangan yang dijadualkan penuh tanpa nama mereka dalam senarai tempahan.

Biro Siasatan Pusat (CIB) berjaya menahan guru tersebut ketika memandu, dan dapur arang ditemui di tempat duduk penumpang yang akan digunakannya untuk membunuh diri.

Surat bunuh diri turut ditemui di dalam kereta suspek.

Hasil siasatan, Charat mengaku melakukan penipuan itu dan memberi alasan dia mengalami masalah kewangan.

Dia juga mendedahkan merancang untuk membunuh diri kerana rasa bersalahnya.

Menurut laporan ThaiRath, tuduhan terhadap Charat masih belum dikeluarkan. - thethaiger

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain