suria

Isteri ‘gelap mata’ menang loteri RM1.5 juta! Sorok daripada suami siap tak mengaku dah kahwin

Narin menuntut hak selepas mengetahui isterinya menang loteri. -Foto Facebook dan Freepik

SEORANG lelaki memfailkan saman terhadap isterinya kerana didakwa menyembunyikan wang kemenangan loteri bernilai 12 juta Baht (RM1.5 juta) daripadanya.

Ujar lelaki dikenali sebagai Narin yang berusia 47 tahun itu, dia dan isterinya Chaweewan, 43, sudah berkahwin selama lebih 20 tahun dan mempunyai tiga anak perempuan.

Pada 2014, difahamkan pasangan ini berhijrah ke Korea Selatan untuk bekerja bagi mengumpul wang demi membayar hutang berjumlah 2 juta Baht (RM250, 000).

Ketika Narin meneruskan pekerjaannya di Korea, Chaweewan pulang semula ke negara asal untuk menjaga tiga anak mereka.

Narin juga mendakwa dalam tempoh itu dia sering hantar sejumlah wang sekitar 27 ribu Baht hingga 30 ribu Baht (RM3,500 hingga RM3,800) setiap bulan untuk perbelanjaan keluarganya.

Namun baru-baru ini Narin diberitahu anaknya bahawa Chaweewan menyembunyikan tentang hadiah kemenangan itu.

Sekembalinya ke Thailand untuk mendapatkan penjelasan daripada si isteri, lelaki berkenaan bertambah terkejut apabila mendapati wanita itu sudah pun berkahwin lain dengan seorang pegawai polis seminggu sebelumnya.

Kecewa dengan Cheweewan, si suami bertindak memfailkan saman bagi mendapatkan keadilan serta sejumlah wang yang difikirkan layak untuknya.

Meskipun pasangan itu tidak mempunyai sijil perkahwinan, namun pihak peguam memaklumkan bukti daripada rakan-rakan serta keluarga sudah cukup untuk membuktikan tentang hubungan mereka.

Sementara itu Chaweewan turut memfailkan bantahan dan mendakwa Narin melakukan fitnah kerana menurutnya hubungan mereka sudah berakhir menerusi panggilan telefon beberapa tahun lalu sebelum dia memenangi loteri.

Menurut peguam Narin, sebarang aset yang diperoleh semasa setiap pasangan itu masih bersama harus dikongsi walaupun selepas berlakunya penceraian.

Sehingga kini kes berkenaan masih dibicarakan di mahkamah. - Weird Kaya

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain