suria

Kenal masa intern pada 1963 tapi cinta terhalang, pasangan ini berjaya juga kahwin selepas 60 tahun

Selepas 60 tahun terpisah, Allbrighton melamar wanita dicintainya sekali lagi. -foto Len Albrighton/SWNS

BAGAIMANA agaknya jika bekas tunang yang sangat anda cinta muncul di depan mata selepas 60 tahun.

Situasi ini kedengaran seperti jalan cerita filem atau drama tapi benar-benar berlaku dalam dunia realiti.

Pasangan kekasih yang terpaksa berpisah gara-gara tidak mendapat restu ibu bapa ketika mereka masih remaja akhirnya berkahwin, 60 tahun selepas pertunangan mereka dibatalkan.

Mereka mungkin perlu berdepan jalan berliku untuk bersatu, tetapi Len Allbrighton, 79 dan Jeanette Steer, 78, kini gembira dan berpuas hati.

Pada 1963, ketika Allbrighton berusia 19 tahun dan Steer berusia 18 tahun, mereka bertemu buat kali pertama.

Mereka bertemu semasa bekerja sebagai jururawat pelatih di Hospital St. Mary, Newport, Isle of Wight, dan mendakwa ia adalah cinta pandang pertama.

kahwin2

Pasangan ini bahagia walau berkahwin pada usia tua. -foto Metro/SWNS

Allbrighton melamar Steer beberapa bulan selepas pertemuan pertama mereka, tetapi takdir tidak menyebelahi pasangan ini.

Selepas Steer bersetuju dengan lamarannya, Allbrighton pergi ke Australia untuk bekerja dan menyimpan wang bagi membeli hartanah yang boleh didiami mereka sekeluarga kelak.

Malang bagi Steer kerana mengikut undang-undang, syarat untuk persetujuan adalah 21 tahun, dan ketika itu umurnya muda tiga tahun.

Ibu bapanya terus menghentikan rancangan perkahwinan itu dan apabila Allbrighton berada di Australia, dia menerima surat memaklumkan tentang perkara itu.

Allbrighton kemudian berkahwin dengan seorang wanita Australia dan mempunyai tiga anak sebelum berpindah ke Stevenage, di mana dia bekerja sebagai jururawat di daerah itu selama 50 tahun.

len

Allbrighton sebelum merantau ke Australia. -foto Len Albrighton/SWNS

Steer pula memutuskan untuk tinggal di Island of Wight dan menjadi jururawat di sana. Dia kemudian berkahwin dengan seorang pegawai tentera laut dan mempunyai dua anak.

Selepas itu Allbrighton pergi ke Newport dan menjejakinya dengan bantuan senarai pemilih yang terdapat di perpustakaan. Dia mendapati Steer telah bersara dan masih bersama suaminya.

Menurut laporan Metro, dia berkata: "Saya berasa gentar, tak tahu apa reaksinya atau adakah saya dapat berjumpa dengannya. Saya pergi tanpa peluang. Ia bukan tempat yang mudah untuk dicari, tetapi saya berjaya. Saya hanya berharap dia OK, saya tak mengharapkan apa-apa lagi."

Allbrighton berdiri di tepi pagar tamannya apabila Jeanette tidak mengenali dirinya yang pada masa itu 52 tahun lebih tua dan berjanggut.

"Saya hampir mati apabila menyedari dia berdiri di tepi pagar taman saya. Saya gembira dia cari saya. Saya banyak memikirkan dia pada masa itu," kata Steer.

jean

Gambar Steer yang diambil Allbrighton pada 1963 sebelum mereka terpisah. -foto Len Albrighton/SWNS

Dia dilaporkan memberitahu suaminya bahawa bekas tunangnya itu adalah orang asing yang sesat bertanya tentang jalan.

Bagaimanapun, dua tahun kemudian suaminya meninggal dunia akibat kanser dan dia menghubungi Allbrighton sekali lagi.

Pada 2018, dia berpindah ke Stevenage untuk bersama Allbrighton dan pada 2017 lelaki itu sekali lagi melamarnya.

Pada 11 Februari, perkahwinan mereka berlangsung dihadiri anak-anak, cucu, dan cicit mereka.

"Kehidupan selepas perkahwinan adalah hebat. Rasa bertuah apabila mempunyai seseorang yang melayan saya dengan hormat. Saya suka melakukan segala-galanya dan apa sahaja dengan dia," kata Steer.

"Kami jatuh cinta lagi. Kami baca puisi antara satu sama lain dan bertukar cincin. Saya beremosi apabila membaca puisi. Saya terharu dengan cinta saya kepadanya."

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain