KECOH seorang wanita melarikan diri bersama 30 ekor babi milik teman lelakinya, ketika pemuda itu berada di hospital akibat patah kaki. Lelaki itu yang hanya dikenali sebagai Lu, dari wilayah Sichuan, barat daya China, mengalami gangguan emosi selepas mendapat tahu teman wanita yang tinggal bersamanya selama empat tahun telah hilang bersama babi-babi yang diternak bersama sejak tahun lepas, lapor Star Video. Dalam satu video laporan kisah ini, Lu menunjukkan ekspresi kecewa, kemudian mengeluh ketika dia bercakap tentang pengkhianatan teman wanitanya, yang menggunakan nama keluarga Xiong. "Apabila saya memikirkannya, saya berasa sangat penat," kata Lu. Lu, seorang duda, bertemu dengan Xiong, seorang janda pada 2019. Tidak lama kemudian mereka bercinta, sebelum tinggal bersama. Lu berkata walaupun kadang-kadang berlaku perselisihan faham mengenai wang, dia menganggap keseluruhan kehidupan mereka sebagai bahagia. Namun, apabila Lu mengajak Xiong berkahwin, dia menolak. "Dia kata tiada beza sama ada kami mendaftar untuk berkahwin atau tidak. "Memandangkan dia tak mahu, saya tidak memaksanya," katanya. Pada Julai tahun lalu, pasangan itu memperoleh pinjaman bank sebanyak 80,000 yuan (RM51,126) untuk memulakan perniagaan ternakan babi bersama. Bagaimanapun, situasi berubah apabila Lu patah kaki dan terpaksa dimasukkan di hospital. Xiong tidak melawatnya tetapi Lu percaya wanita itu sibuk menguruskan ternakan. Tetapi, apabila dia tiba-tiba tidak dapat menghubungi Xiong melalui telefon, dia merasakan ada sesuatu yang tak kena. "Anda tidak jawab panggilan saya dan saya tak tahu mengapa. "Jika anda melihat mesej ini, sila balas. Terima kasih," tulis Lu kepada Xiong di WeChat. Lu tidak pernah menerima balasan daripada Xiong dan apabila pulang ke rumah, dia akhirnya tahu sebabnya. "Dia lari dengan 30 ekor babi," katanya. Lu berkata babi-babi itu bernilai lebih dari 100,000 yuan (RM63,907) dan pinjaman bank itu yang digabungkan dengan bayaran pembedahan yang dijangkakan sekitar 50,000 yuan (RM31,954), telah menyebabkan dia mengalami krisis kewangan. Lu bagaimanapun berharap Xiong akan kembali untuk menjelaskan apa yang telah berlaku. "Jika dia tak mahu tinggal bersama saya, saya tak akan memaksanya," katanya. Kisah itu telah mengundang pelbagai komen di media sosial. "Adakah dia seorang pencuri? "Orang malang! Dia patut hubungi polis," demikian antara komen netizen. -SCMP Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube