SEORANG bapa merupakan salah seorang mangsa kekejaman bomoh pengganda wang dikenali sebagai 'Mbah Slamet'. Bapa berkenaan, Paryanto yang berasal dari Sukabumi, Jawa Barat di Indonesia, diracun sebelum mayatnya dikebumikan dalam 'kubur besar' di sebuah ladang. Sebelum dibunuh, mangsa sudah berasa curiga dengan keadaan yang menimpanya. Memetik laporan detikJabar, mangsa kemudian menghantar pesanan ringkas dan berkongsi lokasi serta pesanan suara (voice note) kepada salah seorang anaknya. ARTIKEL BERKAITAN: Ngeri! Bomoh pengganda wang 'Mbah Slamet' bunuh pelanggan... angka korban kini 12 orang, mayat ditemukan dalam kubur besar Anak Paryanto mengakui menerima mesej daripada bapanya yang ketika itu bersama Mbah Slamet. Pesanan tersebut dikirim oleh bapanya pada Khamis (23 Mac), kira-kira pukul 12.54 tengah malam. Pada mulanya, Paryanto berkongsi lokasinya kepada anaknya sebelum mengirim mesej yang lain. "Takut ayah mati, ini lokasinya, Pak Slamet. Kalau tiada apa-apa berita mengenai ayah sampai Ahad, terus saja ke lokasi bersama pasukan keselamatan," tulis Paryanto kepada anaknya. Mbah Slamet dan pembantunya ditahan polis. foto foto Uje Hartono/detikJateng Dalam pesanan suara itu, Paryanto turut mengakui mengantuk selepas meminum sesuatu. Sebenarnya, ketika itu dia berada di dalam hutan. "Ayah takut sebab tak ada kawan, tak ada rakan-rakan yang ayag percaya. Lagipun ayah seram sikit, lebih-lebih lagi tadi di hutan, ayah tak sedar, mengantuk," katanya. "Minum... tidur lagi sambil menunggu. Cuma ayah ni macam mabuk, cakap seorang. Semoga selamat dan berjaya," kata Paryanto mengakhiri pesanan suara. Seorang bomoh pengganda wang, Slamet Tohari yang dikenali sebagai 'Mbah Slamet', 45, yang disyaki membunuh ramai pelanggan sejak 2020 ditahan polis di Jawa Tengah, pada Sabtu lepas. Kegiatannya terbongkar apabila Polis Banjarnegara menjalankan siasatan berhubung kehilangan salah seorang mangsa yang gagal dihubungi keluarga sejak 24 Mac lepas. Mbah Slamet ditahan di rumahnya di Kampung Balun, Wanayasa, Banjarnegara bersama seorang pembantunya yang mempromosikan perkhidmatan penggandaan wang di media sosial. Ketua Perhubungan Awam Polis Jawa Tengah, Kombes Iqbal Alqudusy berkata, jumlah mangsa pembunuhan Mbah Slamet adalah seramai 12 orang. Polis menemukan mayat mangsa akibat diracun dalam 'kubur besar' di sebuah ladang di Kampung Balun, Wanayasa di Banjarnegara. Dilaporkan, kesemua mangsa diperdaya Mbah Slamet yang kononnya mampu menggandakan wang daripada 40 juta rupiah (RM11,822) kepada lima bilion rupiah (RM1.5 juta). - Detik Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube