BAYANGKAN anda bangun pagi dan melihat pemandangan mamalia gergasi terdampar di persisiran pantai. Begitulah situasi di sebuah pantai di Bali, Indonesia dan pakar haiwan kini sedang bersiap siaga untuk membuat autopsi ke atas ikan paus itu yang berukuran 18 meter. Paus sperma tersebut ditemukan terdampar di pantai pusat peranginan itu pada Rabu. Penduduk setempat dan pihak berkuasa tempatan cuba menolaknya kembali ke laut tetapi selepas ia berenang beberapa jam, ikan paus itu kembali terperangkap di pantai berlainan dan akhirnya mati. Pemeriksaan awal menyaksikan tiada sebarang luka pada badan ikan paus itu, menurut pegawai jabatan marin dan perikanan tempatan, Permana Yudiarso. "Kami masih menyiasat punca kematiannya. Kami mahu mendapatkan penjelasan saintifik sama ada kerana pencemaran atau kehadiran plastik di lautan," katanya. Ikan paus sperma merupakan haiwan pemangsa terbesar di dunia dan disenaraikan oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN) sebagai spesies hidupan terancam dan di ambang kepupusan. Veterinar dan pakar forensik bergegas ke lokasi kejadian untuk menyiasat punca kematian ikan paus itu dan bangkainya akan ditanam dalam beberapa hari akan datang. "Hari ini kita akan membuat ujian necropsy dan selepas selesai prosedur itu jengkaut akan menanam bangkainya di kawasan berdekatan," kata Yudiarso Pihak polis sudah menutup akses ke pantai Bali di bawah pentadbiran Klungkung untuk menghalang orang awam daripada mencuri daging atau bahagian badan ikan paus. Menurut Yudiarso, ikan paus kebiasaannya akan menghampiri perairan cetek dan pantai apabila mereka sakit atau tenat. Pada 2018, seekor ikan paus sperma telah ditemukan mati di Indonesia dengan lebih dari 100 cawan plastik dan 25 beg plastik di dalam perutnya. Perkara ini menimbulkan kebimbangan tentang isu sampah sarap di kepulauan Asia Tenggara. Indonesia merupakan penyumbang kedua terbesar kepada sampah marin selepas China. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube