SEORANG lelaki terkejut apabila dia terjaga tengah malam dan melihat seseorang yang tidak dikenali sedang mencangkung di sebelah katilnya di bilik hotel sambil meraba-raba dirinya. Ketika kejadian, lelaki itu yang dikenali sebagai Li, dan teman wanitanya sedang tidur di katil yang sama di sebuah hotel di Xian, wilayah Shaanxi, barat daya China. Li memberitahu Shaanxi City News, dalam kejadian pada 24 Mac lalu dia tiba-tiba terjaga di tengah malam kerana merasakan ada seseorang menyentuhnya. Laporan itu tidak menyatakan sama ada orang asing itu menyentuh teman wanitanya atau tidak. "Saya dapat rasakan seseorang menyentuh badan dan selimut saya. Dia malah mengalihkan selimut saya. Kemudian saya terdengar bunyi dan terus bangun. "Sebaik saja membuka mata saya nampak seorang lelaki tak dikenali memandang tepat ke arah saya. Muka dia sangat dekat dengan muka saya. Anda boleh bayangkan betapa insiden ini memberi kesan kepada saya," dia dipetik sebagai berkata. Mengakui takut dan jengkel diperlakukan begitu, Li sempat bergelut dengan penceroboh terbabit sebelum dia membuka pintu bilik dan melarikan diri. ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan tuntut ganti rugi, malu tukang cuci tingkap nampak mereka bogel ketika selak langsir... terbantut hajat nak layan ‘view’ sungai ARTIKEL BERKAITAN: Wanita tuntut pampasan... pekerja keselamatan masuk bilik hotel tengah malam nak hantar sepinggan buah Li tidak mengejar lelaki itu kerana tidak berpakaian dan bimbang dia mungkin bersenjata atau rakan jenayah lelaki itu mungkin muncul serta menyerang teman wanitanya. Sebaliknya, dia menghubungi polis dan dalam masa seminggu penceroboh berjaya ditangkap. Kamera litar tertutup hotel mendedahkan bahawa lelaki itu masuk ke bilik melalui tingkap yang terbuka. Pemeriksaan kamera keselamatan mendapati penceroboh masuk melalui tingkap. -foto Sekuriti hotel Pengurusan hotel berkata mereka akan membuat perubahan terhadap tingkap bilik untuk menjadikannya lebih selamat, sambil menambah mereka sedang berunding dengan Li mengenai pampasan. "Saya tak hilang harta benda. Saya hanya tak faham tindakannya. Dia hanya mencampakkan selimut dan meraba saya,” kata Li. Bagi umat Islam, harus diingatkan bahawa pasangan yang belum berkahwin tidak dibenarkan untuk tidur bersama dan hukumnya adalah haram. Suspek berjaya ditahan selepas kejadian itu. -foto Jabatan Polis Xian Untuk rekod, kisah tetamu hotel berdepan pengalaman pelik bukan perkara luar biasa di China. Pada Januari, seorang wanita terkejut dan takut apabila seorang pengawal keselamatan lelaki muncul di bilik hotelnya di utara China pada tengah malam ketika dia berada di atas katil. Lelaki itu mendakwa dia menghantar sepinggan buah-buahan yang telah ditempah dan masuk menggunakan kunci utama dan melarikan diri selepas wanita itu melawan. Selain itu, bulan lalu, pasangan yang menyewa di sebuah hotel mewah di wilayah Zhejiang, timur China, terkejut apabila ternampak tukang cuci di luar tingkap yang bercermin, Pada pagi itu mereka menyelak langsir di bilik, dalam keadaan kedua-dua mereka sedang berbogel. -SCMP Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube