suria

Tragedi Syawal! Lebih 100 penduduk keracunan minum air kelapa, ada pesakit mahu balik beraya

Sebahagian mangsa keracunan yang menerima rawatan. foto ribun Jabar / Deanza Falevi

TRAGEDI menjelang Syawal, lebih 100 penduduk mengalami keracunan minuman kelapa ais.

Kesemuanya menjadi mangsa keracunan selepas membeli minuman itu untuk juadah berbuka puasa, pada Selasa dan Rabu lalu.

Kejadian berlaku di Maniis, Purwakarta di Jawa Barat, Indonesia.

Setakat Jumaat, Pusat Kesihatan Maniis Purwakarta memaklumkan seramai 106 mangsa keracunan minuman kelapa ais.

Petugas kesihatan di Pusat Kesihatan Maniis, Bidan Yuni, memperincikan jumlah mangsa yang menerima rawatan akibat kes keracunan itu.

"Terdapat 94 pesakit yang datang ke pusat kesihatan, kemudian seorang dirujuk ke hospital dan 11 lagi dirawat oleh bidan kampung. Jumlah keseluruhan adalah 106 orang," kata Yuni, memetik laporan TribunJabar.id, pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sembilan sekeluarga temui ajal akibat keracunan makanan gara-gara makan mi disimpan setahun dalam peti sejuk

Yuni berkata, pusat kesihatan dipenuhi dengan mangsa menyebabkan antara mereka terpaksa menerima rawatan di lobi.

"Keadaan beberapa pesakit bertambah baik dan dibenarkan pulang," kata Yuni.

Salah seorang mangsa, Rika Astuti, 27, mengakui kesan sampingan minuman itu hanya dirasai beberapa jam selepas mengambilnya.

"Minum ketika berbuka bersama anak. Saya cuma rasa pening, loya, sampai buang air besar kira-kira jam 10 malam," kata Rika.

Namun keadaan kesihatannya merosot sebelum segera ke pusat kesihatan untuk mendapatkan rawatan.

"Doktor kata keracunan, saya bermalam di pusat kesihatan sehingga keadaan bertambah baik," jelasnya.

Dia bagaimanapun memilih untuk pulang menyambut hari raya bersama keluarga.

"Saya nak berhari raya di rumah, tak nak di pusat kesihatan. Alhamdulillah saya semakin sihat dan boleh pulang," katanya lagi. - Tribun Medan

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain