KEJADIAN aneh! Seorang lelaki tidak sengaja meninggalkan isterinya di pertengahan jalan ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Jawa Timur sempena Aidilfitri. Kisah Arif Romadon, 37, dari Desa Banaran, Bandar Kediri, Jawa Timur itu turut menjadi bualan warganet apabila dikatakan menyedari ketiadaan isterinya selepas bergerak 80 kilometer (km) iaitu di Brebes, Jawa Tengah. Arif memulakan perjalanan pulang dengan menunggang motosikal Honda CB150R dari Bogor, Jawa Barat ke Kediri, Jawa Timur pada Ahad lalu dan membawa isteri Siti Aminah, 40, dan anak perempuan, Eka Krissna, 8. Arif berkata, dia secara tidak sengaja meninggalkan isterinya apabila berhenti seketika selepas tersalah pilih laluan ketika berada di Jalan Lingkaran Utara Brebes. "Sepatutnya dia meneruskan perjalanan terus tetapi tidak sengaja membelok ke kiri. Kalau jalan lurus ke bandar, kalau belok kiri melalui jalan kampung. Itu jalan alternatif," kata Arif. Menurutnya, selepas memutuskan untuk mengikut jalan pilihannya, dia segera meneruskan perjalanan tanpa sedar yang isterinya turun daripada motosikal. Katanya, dia hanya sedar isterinya 'hilang' selepas anaknya, Krissna bertanya mengenai ibunya. "Anak saya bertanya di mana ibunya. Kemudian saya menoleh ke belakang dan mendapati isteri saya tiada, lalu saya memberhentikan motosikal di tepi jalan, berfikir untuk patah balik mencari isteri," katanya. - Tribunnews.com Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!