suria

Warga emas maut dihempap 'lembu terbang', temui ajal di tepi landasan kereta api

Insiden tragis melibatkan warga emas dan seekor lembu berlaku di tepi landasan kereta api. Foto: Daily Mail

AJAL boleh tiba dengan pelbagai cara.

Begitulah nasibnya untuk seorang pesara di India yang maut apabila dirempuh seekor lembu yang tercampak 30 meter ke udara selepas dilanggar kereta api ekspres baru-baru ini.

Kemalangan aneh itu berlaku ketika Shivdayal Sharma, 82, sedang berehat di landasan kereta api di bandar Alwar di negeri Rajasthan di utara India, pada 18 April lalu.

Bekas pekerja kereta api itu dirempuh haiwan itu dan mati di tempat kejadian.

Seorang lagi lelaki yang juga sedang berehat berdekatan terselamat daripada terkena 'haiwan terbang' itu.

Polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu menghantar mayat ke hospital berdekatan untuk dibedah siasat, sebelum diserahkan kepada waris.

Kematian lembu akibat pelanggaran kereta api bukanlah perkara baharu di India.

Data kerajaan menunjukkan bahawa kereta api di negara itu melanggar lebih daripada 13,000 lembu, tahun lalu dan angka itu menunjukkan peningkatan 24 peratus, berbanding 2019.

Ribuan penduduk India membawa lembu mereka untuk meragut rumput di tepi landasan kereta api.

Ramai pemilik lembu juga tinggal berhampiran trek atau mengembala lembu mereka merentasi landasan kereta api untuk pergi dengan cepat dari satu tempat ke yang lain.

Pada November 2021, Menteri Kereta Api Ashwini Vaishnaw mengumumkan bahawa pagar atau tembok sempadan sedang dibina di samping trek di kawasan yang terdedah kepada pencerobohan lembu. - Daily Mail

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain