POLIS menahan seorang penagih dadah selepas menembak mati kakak iparnya. Menurut suspek, dia berang apabila mangsa menuduhnya menyebarkan Covid-19 sehingga menyebabkan kematian seorang jiran di Thailand. Pegawai dari Balai Polis Baan Bueng dimaklumkan mengenai kejadian tembakan di sebuah kedai runcit di Jalan Nong Prue Kao-Baan Hua Kun Jae, pada 29 April lalu. Hasil pemeriksaan mendapati pemilik kedai itu cedera parah dengan kesan tembakan di leher. Wanita berusia 56 tahun yang cedera itu dihantar ke hospital, tetapi kemudian meninggal dunia akibat kecederaan itu. Pegawai memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) kedai dan berjaya mengenal pasti suspek berusia 38 tahun, yang merupakan adik kepada suami mangsa. Rakaman CCTV menunjukkan penagih dadah itu meletakkan kenderaannya berhampiran dan ke kedai mangsa untuk menembaknya sebelum melarikan diri. Bagaimanapun, pegawai polis berjaya mengesan suspek yang bersembunyi di dalam hutan berhampiran Pusat Meditasi Chanta Waree, Thailand dan menahannya serta merampas pistol jenis Taurus 11mm miliknya. Suspek yang mengakui melakukan pembunuhan itu, memberitahu pegawai polis penyiasat bahawa mangsa sering menyebarkan cerita mengenainya sebagai seorang penagih dadah dan kelakuannya tidak terkawal. Dia didakwa di bawah Seksyen 289 Undang-undang Jenayah iaitu pembunuhan dengan sengaja dan berdepan hukuman boleh penjara seumur hidup atau penjara 15 hingga 20 tahun. Dia juga didakwa membawa senjata di tempat awam tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api, Peluru, Bahan Letupan, Bunga Api, dan Senjata Api Tiruan, yang mana berdepan dengan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda sehingga 10,000 baht (RM1309), atau kedua-duanya sekali jika disabit bersalah. -THAIGER Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube