SEBUAH video yang memaparkan seekor lembu menyerbu pelamin dalam satu majlis perkahwinan viral di media sosial. Insiden tersebut menyebabkan majlis kecoh dengan pengantin dan tetamu dilihat lari lintang pukang dalam video berdurasi 30 saat itu. "Ketika itu upacara pernikahan sepupu saya pada Selasa (2 Mei). "Tidak lama selepas itu ia ditangani (diikat)," kata salah seorang ahli keluarga pengantin, Nasrullah, memetik Kompas.com. Video tular itu menunjukkan sepasang pengantin dan sejumlah tetamu sedang berada di pelamin untuk bergambar ketika majlis perkahwinan sedang berlangsung di Kampung Tongguh Barat, Sampang, Jawa Timur, Indonesia. Tiba-tiba mereka dilihat berlari menyelamatkan diri bimbang disondol lembu yang terlepas dari talinya. Bukan sahaja tetamu, pengantin turut berlari meninggalkan pelamin selepas melihat pelamin mereka diserang seekor lembu. Walaupun tiada mangsa terkorban, dekorasi pelamin dan beberapa peralatan untuk penggambaran majlis seperti lampu rosak dipijak lembu. Nasrullah berkata tidak lama kemudian lembu itu berjaya ditangkap dan diikat sebelum dibawa ke tempat asalnya. "Tak ada yang jadi mangsa cuma beberapa dekorasi rosak tapi masih boleh diperbaiki. Majlis juga kembali berjalan lancar," katanya. Berdasarkan maklumat yang diperoleh Nasrullah, lembu besar berwarna coklat tersebut adalah milik keluarga pengantin perempuan. Bagaimanapun dia tidak diketahui punca atau bagaimana haiwan itu boleh terlepas. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube