suria

Teruja rai penceraian... Pemuda patah leher, pinggang ketika 'bungee jumping'

Tali keselamatan yang mengikatnya tiba-tiba putus.

KEGEMBIRAAN seorang lelaki meraikan penceraiannya bertukar tragedi apabila dia terjatuh ke dalam lombong kuari di Lagoa Azul (Blue Lagoon) di Campo Magro, Brazil.

Ia berikutan tali yang mengikatnya tiba-tiba terputus dan mengakibatkan dia jatuh terjunam kira-kira 21 meter ke dalam lombong berkenaan.

Kejadian yang berlaku itu menyebabkan dia patah tulang leher dan pinggang.

Pemain berusia 22 tahun itu kini menjalani terapi intensif berikutan insiden terjunan di lokasi tumpuan itu, pada 11 Februari lalu.

Menurut laporan Mirror.co, Rafael pergi ke tempat itu untuk melakukan bungee jumping bagi meraikan perceraiannya.

Meskipun mengalami kecederaan parah, dia dilaporkan selamat dan kini sedang menjalani terapi.

Pun begitu kecederaan yang dialaminya berpanjangan.

Mengimbau insiden yang berlaku itu, Rafael berkata, dia ingin menikmati kehidupan dengan sebaiknya termasuk melakukan aktiviti ekstrem dan pelik.

"Selepas bercerai, saya ingin menikmati kehidupan dalam setiap cara yang mungkin dan melakukan banyak perkara gila," luahnya.

Terdahulu, Rafael pergi ke lokasi terbabit untuk melakukan bungee jumping bersama sepupu dan rakannya tiga hari sebelum sambutan hari jadinya yang ke-22.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain