SEORANG pemuda dari Thane, Mumbai, India ditahan polis atas dakwaan membunuh adik perempuannya yang berusia 12 tahun. Pemuda berusia 30 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut ekoran mengesyaki mangsa berhubungan intim dengan seseorang. Ini kerana tertuduh terlihat tompokan darah pada pakaian mangsa, namun ia sebenarnya merupakan darah haid. Menurut polis, mangsa tinggal bersama-sama dengan abang dan kakak iparnya di Ulhasnagar. Beberapa hari sebelum itu, mangsa didatangi haid buat kali pertama. "Si abang melihat kesan darah pada pakaian adiknya dan mula meragui bahawa gadis itu sedang menjalin hubungan sulit. "Mangsa bagaimanapun tidak mempunyai pengetahuan tentang kitaran haid dan apabila abangnya menanyakan tentang kesan darah, dia tidak dapat menjelaskannya," kata jurucakap polis. Pemuda itu didakwa mencederakan adiknya menggunakan penyepit panas sehingga mengakibatkan tubuh mangsa mengalami lecur teruk. Sebaik sahaja dibawa ke hospital, mangsa tidak dapat diselamatkan ekoran mengalami cedera parah. - Timesofindia Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube