SEORANG isteri berpura-pura menjalinkan hubungan cinta dengan seorang lelaki lain kerana mahu membuatkan suaminya cemburu. Namun tanpa disangka, niat tersebut mengundang tragedi tragis apabila suaminya bertindak membunuh diri selepas mengetahui 'kecurangan' tersebut. Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di Chon Buri, Thailand, baru-baru ini. Wanita bernama May dan berusia 49 tahun itu merasa tidak bahagia dengan perkahwinannya kerana tidak puas hati si suami tidak bekerja keras untuk memberikan kehidupan yang baik untuk keluarga mereka. Justeru, dia berpura-pura bercinta dengan lelaki lain bagi membuatkan si suami cemburu dan akhirnya berubah sikap. Wanita tersebut sering berlakon bercakap menerusi telefon dengan 'kekasihnya' di hadapan suami untuk membuatkan lelaki itu cemburu. Malah dia mengugut untuk meminta cerai dan berpindah mengikut kekasihnya jika si suami masih enggan berubah. Mendengar kata-kata itu, lelaki berkenaan berkata dia akan membunuh diri jika benar May curang. May yang ketakutan akhirnya mengaku dia hanya berpura-pura, namun ternyata semuanya sudah terlambat apabila lelaki tersebut benar-benar mempercayai lakonannya. Beberapa hari kemudian, May mendapat panggilan telefon daripada pihak polis yang bertanyakan perihal suaminya, kerana mereka mendapat laporan bahawa lelaki itu membuat nota catatan bunuh diri yang disiarkan di laman sosial. Nota itu berbunyi, "Saya harap semua orang bahagia. Dia orang yang baik, tapi saya tidak. Selamat tinggal semuanya." May cuba menghubungi suaminya berkali-kali namun gagal. Kehilangan suami May terjawab apabila polis menemui mayat lelaki tersebut di dalam sebuah hutan berdekatan rumah pasangan berkenaan. Ketika ditemui, mayat suami May sudah terbaring di tanah, manakala terdapat tali nilon yang terikat pada dahan pohon yang sudah patah. Mayat dihantar ke hospital untuk dibedah siasat untuk mengetahui punca kematiannya. - Wolipop Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube