suria

Tak mampu bayar RM439 untuk perkhidmatan ambulans, bapa bawa mayat anak naik bas sejauh 200km

Ashim Debsharma memasukkan mayat bayinya di dalam beg sebelum membawanya pulang ke rumah menaiki bas.

GARA-GARA tidak mempunyai wang yang cukup untuk membiayai bayaran yang dikenakan ambulans, seorang bapa terpaksa membawa pulang mayat bayinya dengan menaiki bas sejauh 200 kilometer (km).

Ashim Debsharma mendakwa pemandu ambulans meminta bayaran Rs8,000 rupee (RM439) untuk menghantar mayat anaknya pulang dari Siliguri ke Kaliaganj.

"Anak lelaki saya berusia lima bulan meninggal dunia semasa dirawat di Hospital dan Kolej Perubatan Bengal Utara (NBMCH) di Siliguri selama enam hari. Saya membelanjakan Rs16,000 rupee (RM879) untuk rawatan tersebut.

"Pemandu ambulans meminta Rs8,000 untuk membawa kami pulang. Tanpa baki wang yang tinggal, saya masukkan mayat anak saya ke dalam beg dan menaiki bas dari kolej perubatan pulang ke Kaliaganj," ujarnya.

Ashim mendakwa bahawa apabila dia menghubungi ambulans, dia diberitahu bahawa ia adalah kemudahan percuma untuk pesakit, bukan untuk mayat.

Dia pulang ke rumah dengan menaiki bas tanpa meminta bantuan daripada penumpang lain atau kakitangan bas, bimbang akan dihalau sekiranya mereka menemui mayat anaknya.

Pihak berkuasa hospital bagaimanapun mendakwa mereka tidak dihubungi oleh lelaki tersebut untuk mendapatkan ambulans.

"Pihak NBMCH tidak mempunyai kenderaan jenazah sendiri tetapi jika keluarga kurang berkemampuan memintanya, kami akan mengaturkannya melalui jawatankuasa kebajikan pesakit," kata Dr Sanjay Mallik yang merupakan pegawai atasan hospital berkenaan.

Insiden berkenaan mencetuskan perdebatan termasuk dalam kalangan pemimpin politik mengenai kelemahan infrastruktur penjagaan kesihatan di India. - Independent

strong>Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain