SEORANG wanita yang disangka membuat 'mukbang' kerana memesan makanan dalam kuantiti banyak, rupanya kantoi curi makanan bufet untuk dibawa balik. Perbuatan wanita yang dikenali sebagai Wen itu terbongkar selepas dia dirakam menggunakan kamera pengawasan ketika memasukkan makanan ke dalam beg plastik di bawah meja. Malah dia didapati melakukan perbuatan sama sejak tahun lepas. Menurut laporan scmp.com, berdasarkan lima rakaman pengawasan, wanita itu mengunjungi sebuah restoran di wilayah Guizhou di barat daya China lebih 12 kali sejak Mac tahun lalu. Dia juga didapati memesan hidangan mahal seperti udang manis, salmon dan hati angsa. Setiap pesanan yang dibuatnya melebihi jumlah yang boleh dimakan untuk individu berikutan lebihan makanan dimasukkan ke dalam beberapa beg plastik yang telah disediakan dan di simpan dalam beg tangannya. Pemilik restoran tersebut berkata, pada awalnya dia menyangka wanita terbabit menghasilkan video makan seperti yang dilakukan beberapa pempengaruh media sosial, namun sebaliknya berlaku. Tambahnya, bayaran bufet adalah RM141 (218 yuan) per seorang. Susulan itu, Wen disaman hampir RM29,117 (45,000 yuan) sebagai pampasan kepada restoran. "Restoran mempunyai hak untuk menuntut ini kerana ia jelas memaparkan papan tanda yang mengatakan 'sisa lebih 100 gram atau bawa pulang perlu dibayar mengikut harga menu' yang diletakkan di meja juruwang atau di setiap meja," kata pemilik restoran. Pun begitu, Wen pada mulanya enggan membayar sebelum dia diancam dengan sistem perundangan serta bayaran tambahan perbicaraan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube