SEORANG warga emas yang diisytiharkan sudah meninggal dunia oleh doktor mengejutkan ahli keluarga dan tetamu di majlis pengebumiannya kerana kembali bernafas. Bella Montoya, 76, dari Ecuador, diletakkan di dalam keranda di mana ketika itu para tetamu hadir untuk memberikan penghormatan terakhir. Selepas hampir lima jam di dalam keranda, ahli keluarga wanita itu membuka penutup untuk menukar pakaiannya sebelum pengebumian, namun terkejut apabila melihatnya tercungap-cungap bernafas. "Ibu saya mula menggerakkan tangan kirinya, cuba membuka mata dan mulutnya... dia sukar bernafas," ujar anak lelaki Bella, Gilbert Balberan. Video yang dirakam salah seorang tetamu pada majlis pengebumian tersebut menunjukkan keadaan Bella sedang tercungap-cungap di dalam keranda yang terbuka. Beberapa minit kemudian, anggota bomba tiba dan mengangkat Bella ke atas pengusung serta membawanya kembali ke hospital yang sama di mana dia telah diisytiharkan mati. Anak lelaki Bella memberitahu media tempatan bahawa ibunya berada dalam unit rawatan rapi, tetapi bertindak balas. Kementerian Kesihatan Ecuador telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyiasat kejadian itu. Terdahulu, Bella diisytiharkan meninggal dunia kerana penyakit angin ahmar. -BBC Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube