TANGAN yang memberi untuk tujuan baik ada kalanya boleh bertukar menjadi tragedi. Begitulah kisahnya apabila seorang kanak-kanak berumur tiga tahun di Samarinda, Indonesia disahkan positif dadah jenis syabu selepas meminum air mineral yang diberikan seorang wanita yang merupakan jirannya. Wanita berusia 51 tahun itu menjadi suspek utama selepas disyaki menjadi punca kepada insiden berkenaan. Menurut Ketua Polis Samarinda, Adry Fadli, kes itu disahkan pihaknya dan suspek sudah ditahan pada 11 Jun kerana kesalahan penyalahgunaan dadah serta melanggar undang-undang perlindungan kanak-kanak. Jika disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara 10 tahun. Manakala, Ketua Pasukan Reaksi Cepat Perlindungan Perempuan dan Anak (TRC PPA) Kalimantan Timur, Diah Lestari memaklumkan insiden berlaku ketika mangsa bersama ibunya berkunjung ke rumah jiran berkenaan. Ketika di sana mangsa tiba-tiba berasa haus dan meminta air kepada ibunya untuk menghilangkan dahaga. "Mangsa kemudian diberi minum oleh jiran berkenaan," katanya. Setelah pulang ke rumah, kanak-kanak itu menjadi sangat aktif sehingga tidak makan dan tidur pada waktu malam selama beberapa hari. Mula berasa risau, si ibu menghubungi jirannya untuk mendapatkan penjelasan tentang asal usul air mineral yang diberikan kepada anaknya itu. Walaupun tidak dijawab pada mulanya, jirannya itu mengatakan air mineral tersebut dibawa dari kafeteria di tempat kerja dan dia tidak mengetahui tentang kandungan air mineral terbabit. Mangsa dibawa ke Hospital Atma Husada Mahakam untuk pemeriksaan lanjut dan menjalani ujian saringan air kencing. Siasatan awal mendapati botol air mineral itu pernah digunakan untuk menghisap syabu. Keadaan mangsa semakin pulih selepas dirawat dan masih dipantau pusat pemulihan Badan Narkotik Nasional. - Tribunnews.com Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube