SUATU situasi yang sukar untuk digambarkan dengan akal fikiran. Menggugupkan jantung apabila seorang lelaki di Brazil tidak menyedari bahawa ada serangga iaitu seekor langau sudah bertelur di dalam telinganya dan menyebabkan kesakitan yang teramat. Keadaan bertambah runcing apabila pihak hospital tidak mampu merawatnya secepat mungkin kerana ia merupakan suatu insiden yang jarang berlaku. Menurut laporan berita tempatan, Valdemir Dencati terjaga daripada tidur dalam kesakitan yang tidak terperi sebelum mendapati telinganya dipenuhi ulat kecil atau larva. Ulat kecil keluar dari telinganya dan merayap ke mukanya ketika dia dikejarkan ke unit kecemasan hospital berdekatan rumahnya di Brazil pada 4 Jun lalu. Dia kemudian dirujuk ke Hospital Perbandaran Cuiaba, Brazil sebelum dihantar ke pusat perubatan lain yang mempunyai kepakaran untuk merawat keadaannya. "Banyak larva di dalam telinganya dan suami saya sedang mengalami kesakitan yang tidak terungkap dengan kata-kata. Pihak hospital tidak dapat berbuat apa-apa. "Larva menetas di dalam telinganya dan sedang memakannya hidup-hidup," kata isterinya, Elaine. Pakar kemudian memaklumkan bahawa pembedahan khas perlu dibuat untuk membuang larva yang menetas di dalam telinga Valdemir dan ia akan menelan kos yang tinggi. Valdemir dilaporkan masih berada di hospital dan sedang menjalani prosedur untuk mengeluarkan larva sehingga ke hari ini. - Mirror.uk Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube