PECAH rekod dunia! Cef wanita Nigeria melakar sejarah dalam Rekod Dunia Guinness (GWR) untuk sesi memasak solo tanpa henti selama 93 jam dan 11 minit. Hilda Baci, 26, berlatih di gimnasium untuk terus berdiri selama empat hari yang diperlukan untuk memecahkan rekod dalam cabaran pada 11 hingga 15 Mei yang bertujuan untuk membantu mempromosikan masakan Nigeria. "Saya mahu resipi Nigeria disebarkan ke seluruh dunia. "Kamu tahu, saya mahu ia menjadi perkara biasa untuk membuat sup Egusi di rumah Amerika. "Saya mahu kamu masuk ke mana-mana pasar raya secara rawak dan mencari bahan-bahan (untuk masakan) Nigeria," kata Baci selepas menyempurnakan cabaran berkenaan. Percubaan rekod Baci menarik perhatian penduduk Nigeria ketika ramai warganya sedang bergelut dengan inflasi yang tinggi, kekurangan bahan api dan masalah ekonomi yang lain. Ketika dia memasak, beberapa tokoh berprofil tinggi melawat Baci termasuk gabenor negeri Lagos, naib presiden negara itu dan bintang muzik Afrobeats, Tiwa Savage. Ia bukan kejayaan pertama Baci yang pernah menjadi hos rancangan memasak televisyen dan mewakili Nigeria sebelum memenangi pertandingan memasak serantau. "Berikutan semakan menyeluruh terhadap semua bukti, GWR mengesahkan bahawa... Hilda Baci kini secara rasminya memecahkan rekod untuk maraton memasak paling lama (untuk individu)," kata GWR dalam satu kenyataan. GWR berkata, Baci memecahkan rekod cef India pada 2018 yang memasak selama 87 jam dan 45 minit. - BBC News Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube