SEORANG lelaki memalsukan kematian sendiri sebelum dia kemudian tiba di 'majlis pengebumiannya' dengan helikopter, sekaligus mengejutkan seluruh keluarganya. David Baerten melakukan prank tersebut untuk melihat bagaimana reaksi kaum keluarganya selepas dia 'meninggal dunia'. TikToker berusia 45 tahun itu meminta bantuan isteri dan anak-anaknya bagi menjayakan rancangan tersebut. Malah anak perempuannya turut menyiarkan penghormatan palsu kepada bapanya di media sosial, sebagai sebahagian daripada rancangan prank tersebut. Baerten, yang lebih dikenali sebagai Ragnar le Fou mempunyai 162,000 pengikut di TikTok, tiba di 'majlis pengebumiannya' bersama kru filem menaiki helikopter. "Saya tidak pernah dijemput untuk apa-apa majlis keluarga. Kami semua semakin terpisah. Saya rasa tidak dihargai. "Itulah sebabnya saya ingin memberi mereka satu pengajaran hidup, dan menunjukkan kepada mereka bahawa anda tidak sepatutnya menunggu sehingga seseorang mati untuk bertemu dengan mereka," ujarnya. Prank itu telah mendapat kritikan hebat ramai pengguna media sosial yang melabelkannya sebagai 'gurauan kejam'. -Metro.co.uk Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube