suria

Ngeri! Nelayan ralit menangkap ikan, tiba-tiba ada 'benda asing' melompat masuk mulut... Akhirnya bermalam di hospital

Kerongkong merupakan bahagian yang sensitif dan perlu dilindungi dari benda asing. -Gambar hiasan

HASRAT untuk menangkap ikan bertukar tragedi.

Seorang lelaki yang juga merupakan seorang nelayan di wilayah Kien Giang di Vietnam, terpaksa dikejarkan ke hospital selepas seekor ikan puyu melompat masuk ke dalam kerongkongnya

Di hospital, dia perlu mendapatkan bantuan perubatan apabila ikan puyu di dalam kerongkongnya itu mempunyai duri yang mencederakan tekaknya dan menyebabkan pendarahan.

Menceritakan semula bagaimana kejadian itu berlaku, lelaki berkenaan cuba menangkap ikan apabila tiba-tiba keadaan bertukar kucar-kacir dan haiwan akuatik itu terpelanting masuk ke dalam mulutnya yang sedang terbuka.

Ikan itu hanya bersaiz kecil dan lelaki itu cuba menariknya keluar tetapi sebaliknya ikan itu hanya ditolak lebih jauh masuk ke dalam kerongkong.

Pesakit itu menerima rawatan kecemasan di pusat perubatan Daerah Giong Rieng, Vietnam.

Ketua jabatan otorinolaringologi pusat itu, Dr Nguyen Hoang Quy memaklumkan ikan itu sudah mati apabila dikeluarkan dari kerongkong pesakit berkenaan.

Kerongkong pesakit itu mengalami kecederaan teruk dan dia perlu dirawat selama beberapa hari untuk pulih sepenuhnya sebelum pesakit dibenarkan keluar.

"Saya suka menangkap ikan sejak kecil, tetapi saya tidak pernah menghadapi situasi seperti ini," kata lelaki itu dalam satu kenyataan melalui laporan media tempatan. - vnexpress

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain