SEORANG wanita bertindak memfailkan penceraian terhadap suaminya kerana 'dipaksa' untuk hamil sehingga mendapat anak lelaki. Bagaimanapun permohonannya ditolak oleh mahkamah dan situasi berkenaan mencetuskan kemarahan netizen. Wanita yang hanya dikenali sebagai Xiong berkahwin dengan seorang lelaki bernama Ou pada 2015. Sebelum secara rasmi berkahwin, mereka berdua sudah mempunyai empat anak perempuan, dan kemudian mereka dikurniakan sepasang kembar yang mana kedua-duanya juga perempuan. Xiong banyak menguruskan perihal enam anak perempuannya seorang diri tanpa bantuan si suami, menyebabkan dia kepenatan dan enggan hamil lagi. Namun hasrat Xiong dibantah oleh Ou yang tetap mahukan anak lelaki. Xiong terkejut dan tidak menyangka suaminya melihat dirinya tidak lebih daripada 'mesin pembuat bayi'. Wanita yang berasal dari Hunan, China itu kemudian 'lari' ke rumah ibu bapanya meninggalkan Ou dan enam anaknya pada 2019. Pada Jun lalu, dia memfailkan penceraian atas alasan perkahwinannya gagal. Bagaimanapun semasa perbicaraan, permohonan Xiong ditolak oleh hakim malah dia dipersalahkan kerana gagal memainkan peranan sebagai seorang ibu. Hakim juga mendakwa Xiong tidak dapat membuktikan perkahwinannya gagal. Mahkamah kemudian memerintahkan Xiong kembali kepada keluarganya dan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri. Kisah Xiong menjadi tular dan mencetuskan kritikan hebat di media sosial China dengan warga maya menzahirkan rasa simpati terhadap nasib wanita berkenaan. -SCMP Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube