suria

Buaya gemuk mati sebab kenyang melampau, dipaksa makan oleh pemuja mahu cepat kaya

Buaya ini menjadi obes kerana makan berlebihan dan akhirnya mati.

GARA-gara disanjung sebagai entiti suci, seekor buaya diberi makan tak henti-henti oleh penduduk kampung sehingga gemuk melampau

Reptilia malang berusia 100 tahun itu akhirnya mati kerana makan berlebihan berikutan ia melahap setiap ekor kambing dan ayam yang dicampak kepadanya.

Buaya 'gempal' berkenaan tinggal di sebuah tempat pemujaan dikenali sebagai Hazrat Khan Jahan Ali di barat daya Bangladesh.

Pengunjung ke pusat pemujaan itu percaya jika mereka memberi makan kepada buaya berkenaan, ia akan membawa tuah dan kekayaan kepada diri mereka.

Susulan ekonomi semasa yang kurang memberangsangkan, pengunjung berpusu-pusu menyediakan santapan kepada buaya itu dengan harapan hidup mereka dapat diubah.

Buaya ini mati dengan cara yang tidak disangka-sangka.

Namun begitu, sebaliknya pula yang berlaku apabila buaya itu akhirnya mati kerana menghidapi penyakit berkaitan obesiti.

Penjaga buaya itu, Mohammed Sarwar, 40, berkata mereka sedar bahawa haiwan reptilia itu diberi makan lebih dari biasa.

"Kami tahu masalah yang bakal dihadapi buaya itu apabila makan secara berlebihan tetapi tidak ada apa yang kami boleh lakukan. Legenda di sini mengatakan siapa sahaja yang memberi makan kepada buaya itu, segala hajatnya akan dipenuhi.

"Kebiasaannya hanya ayam yang diberikan kepada buaya itu, tetapi sejak kebelakangan ini, lebih banyak makanan dalam kuantiti besar seperti kambing yang diberikan kepada buaya itu.

"Kepercayaan mengatakan jika lebih besar makanan yang diberikan, maka lebih besar impian yang boleh dicapai," jelasnya.

Pada mulanya ada empat ekor buaya di pusat pemujaan itu tetapi tiga daripadanya mati kerana sebab sama iaitu penyakit berkaitan obesiti dan kini yang terakhir juga turut maut.

"Jika rakan-rakan buaya itu ada masih ada, makanan yang diberikan secara berlambak dapat dikongsi dan tidak terbeban hanya kepada satu buaya," katanya lagi. - Metro.uk

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain