suria

Isteri merengek ajak bercuti selepas sehari nikah, rupanya ada plan! Kunci suami dalam tandas hotel kemudian lesap

Kebahagiaan rumah tangga memerlukan kerjasama kedua-dua suami isteri. -Gambar hiasan

BELUM sempat melalui alam rumah tangga, si isteri sudah 'cabut' dahulu.

Begitulah kisah seorang pengantin perempuan yang dilaporkan melarikan diri selepas sehari melangsungkan pernikahan.

Malah, lebih mengejutkan, wanita itu dikatakan turut sempat mengunci suaminya di dalam bilik air sebelum melesapkan diri.

'Drama' pasangan itu menjadi tular selepas satu hantaran di Facebook dibuat oleh Encis Tamba yang mendakwa dirinya merupakan adik kepada suami yang ditinggalkan.

"Kakak ipar saya melarikan diri selepas satu hari berkahwin. Abang saya melangsungkan perkahwinan pada Isnin 3 Julai dengan isterinya. Dan pada Selasa 4 Julai, isterinya melarikan diri," tulis wanita itu dalam satu hantaran pada 12 Julai.

Kejadian di Samosir, Sumatera Utara, Indonesia itu dikatakan bermula apabila si isteri mengajak suaminya pergi bercuti selepas bernikah dan pasangan itu akhirnya memutuskan untuk bermalam di sebuah hotel.

"Pada pagi Selasa tu isteri abang saya merengek minta keluar berjalan-jalan dengan suami dia. Abang saya ikutkan sahaja, mereka pun pergi sampai ke Tigaras, Indonesia dan bermalam di hotel di sana.

Seorang lelaki pastinya mahukan rumah tangga yang stabil. -Gambar hiasan

"Mereka tiba pada pukul 6 petang dan sejurus selepas itu abang saya dikunci di dalam bilik air oleh kakak ipar saya," tulisnya.

Lelaki itu kemudiannya cuba menghubungi isterinya berkali-kali tetapi telefon bimbit pasangannya sudah dimatikan dan akaun media sosialnya ditukarkan menjadi mod 'private'.

"Kami sudah pergi ke pihak keluarga isteri untuk mengetahui tentang keberadaan kakak ipar saya tetapi mereka juga tidak tahu-menahu.

"Sudah satu minggu kami cari, kami harap dengan perkongsian maklumat ini, ia dapat digunakan untuk viralkan apa yang berlaku supaya isteri abang saya dapat cepat ditemukan semula," kata wanita itu menutup perkongsiannya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet berasa sedih apabila seorang isteri tergamak mengunci suaminya di dalam tandas dan kemudian melarikan diri.

"Kenapa kejam betul wanita ini meninggalkan suaminya yang baru dikahwini.

"Cuba tengok dekat rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mesti boleh nampak siapa yang jemput wanita tu, mungkin dijemput oleh keluarga terdekatnya.

"Setiap insan manusia ada perjalanan hidup masing-masing dengan ujian yang berat," kata sebahagian warga maya. - Okenews

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain