SEORANG lelaki yang terkenal dengan gelaran Raja Tedung Selar akhirnya bersara setelah 28 tahun melakukan aksi mencium ular berbisa. Menurut portal Thaiger, keputusan dibuat oleh Thongkum Chaubuddee, 62 selepas mendengar luahan isteri yang bimbang terhadap keselamatannya yang semakin lanjut usia. Sebelum ini, Thongkum aktif menceburi seni bermain ular hingga diiktiraf Guinness World Records. Sepanjang membuat persembahan dia cukup terkenal dengan aksi mencium ular dengan lancar dan selamat. Aktiviti bermain ular tidak asing bagi Thongkum memandangkan kampungnya yang terletak di Khok Sa-Nga, dalam wilayah Khon Kaen, satu-satunya 'kampung ular tedung' di Thailand. Namun, Thongkum memutuskan untuk bersara kerana sudah berasa puas bekerja memandangkan dia tidak perlu membayar ansuran keretanya lagi. Walau bagaimanapun, lelaki ini tetap memelihara lima ekor ular tedung seberat 4 hingga 5 kilogram buat sementara waktu. Sekiranya terdapat pembeli yang berminat, dia akan menjualnya dengan harga 1000 baht (RM130) sekilogram. Untuk rekod pada 2006, Guinness World Records mengiktiraf Thongkum kerana mencium 19 ekor ular tedung. Pada 2010 pula, dia mencipta satu lagi rekod dengan mencium 34 ekor ular tedung dalam masa tiga minit di Rom, Itali. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube