SEORANG wanita ditahan selepas pulang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci. Suspek berusia 45 tahun itu didakwa terlibat dalam kes pemerdagangan orang. Penahanannya sekali gus mengejutkan penduduk kampung di Sempayang, Malinau di Kalimantan Utara, Indonesia. Dia yang merupakan pemilik gerai didakwa kerana menyediakan perkhidmatan pelacuran di premis perniagaannya. Sementara itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Malinau, Wisnu Bramantio berkata, suspek ditahan selepas pulang dari menunaikan haji dan menghadiri satu majlis di masjid di Bandaraya Malinau. Selain menyediakan makanan dan minuman, gerai milik suspek turut menyajikan 'hidangan tambahan' yang melibatkan kehadiran sejumlah pelacur. Berdasarkan siasatan polis, suspek didapati mengeksploitasi beberapa wanita dari luar dan sekitar Kalimantan Utara. "Di dalam kedai terdapat terdapat bilik yang dipisahkan. Ada beberapa pelacur yang disediakan dengan kadar 300,000 rupiah (RM91) untuk setiap servis. "Wanita-wanita berkenaan membuat pengakuan pada awalnya mereka dijanjikan pekerjaan lain yang lebih baik," ujar Wishnu. Menurutnya, suspek bakal berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun jika didapati bersalah. - Kompas Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube