suria

Gara-gara tapau durian bawa ke hotel, wanita nyaris kena denda RM1,710 - “Saya tak akan buat lagi”

Durian adalah item yang dilarang untuk dibawa di kebanyakan hotel. -Gambar hiasan

SEORANG pelancong dari China nyaris dikenakan denda berjumlah $500 (RM1,710.00) kerana membawa buah durian masuk ke dalam bilik hotelnya di Singapura.

Dalam hantaran di platform Xiaohongshu, wanita itu berkata dia menerima surat amaran daripada hotel berkenaan selepas memakan durian Musang King di biliknya.

Berkongsi cerita, wanita iti berkata dia dan keluarganya baru selesai menikmati makan malam dan kemudian terjumpa sebuah gerai buah durian.

Disebabkan masih kenyang, dia membeli buah berkenaan dan membungkusnya di dalam plastik 'ziplock' untuk dibawa pulang dan dinikmati kemudian.

Tanpa disangka, keesokan paginya wanita itu dikejutkan dengan surat amaran daripada pihak hotel.

Isi kandungan surat tersebut menyebut mengenai bau durian yang menyengat dan mengingatkan tetamu tentang larangan membawa buah itu ke bilik hotel.

"Kami memahami bahawa durian adalah makanan istimewa yang disukai ramai, tetapi aromanya yang kuat sehingga meninggalkan bau dan mungkin menjejaskan pengalaman tetamu seterusnya yang tinggal di dalam bilik," demikian tulis surat berkenaan.

Ia juga menyebut, tetamu berdepan dengan denda $500 (RM1,710.00) jika kakitangan hotel mengesan bau durian di dalam bilik.

"Saya tahu bahawa durian tidak dibenarkan di dalam pengangkutan awam di Singapura, tetapi saya tidak tahu ia juga dilarang di bilik hotel atau balkoni bilik," tulis pelancong itu.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana dikecualikan membayar denda kerana merupakan pesalah kali pertama.

"Nasib baik, pihak hotel berkata denda dikecualikan bagi pesalah kali pertama. Saya tak akan buat lagi," katanya. -Straitstimes

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain