suria

Disuruh tanggal pakaian untuk ‘check fizikal’, 6 peserta Miss Universe Indonesia lapor polis

Enam peserta Miss Universe Indonesia membuat laporan polis selepas mendakwa penganjur melakukan gangguan seksual. -foto FB

PERTANDINGAN Miss Universe Indonesia berakhir dengan kontroversi apabila enam pesertanya mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual penganjur yang meminta mereka melakukan 'pemeriksaan badan' tanpa baju.

Susulan kejadian, peguam mereka, Mellisa Anggraeni memaklumkan satu laporan polis telah dibuat dan siasatan akan dijalankan, memetik Reuters.

Jurucakap polis Jakarta, Trunoyudo Wisnu Andiko mengesahkan laporan daripada peserta diterima pada Isnin.

Dalam pertandingan itu yang berlangsung dari 29 Julai hingga 3 Ogos, penganjur didakwa meminta lima daripada mereka menanggalkan pakaian dalam untuk pemeriksaan fizikal di sebuah bilik dengan lebih 20 orang turut berada di situ, termasuk lelaki sebelum gambar mereka diambil.

Menurut Anggraeni, laporan dibuat kerana tidak ada keperluan untuk pemeriksaan seperti itu dijalankan.

Sementara itu Pertubuhan Miss Universe berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai dakwaan itu dan sedang membuat penelitian.

"Miss Universe memandang serius dakwaan gangguan seksual. Menyediakan tempat selamat untuk wanita adalah keutamaan Pertubuhan Miss Universe," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam satu sidang akhbar yang disiarkan oleh saluran berita Kompas TV, salah seorang peserta mendakwa dia diminta untuk bergambar secara tidak wajar, termasuk dengan melebarkan kakinya.

"Saya rasa seperti sedang diintai. Saya sangat keliru dan tidak selesa," kata wanita itu yang tidak didedahkan identitinya.

Syarikat yang mengendalikan pertandingan Miss Universe Indonesia, PT Capella Swastika Karya, dan pengasasnya, Poppy Capella juga tidak memberi respons apabila dihubungi Reuters.

Malah, butiran talian untuk menghubungi jurucakap syarikat juga tidak ditemui selain Pertubuhan Miss Universe tidak membalas emel untuk mendapatkan komen.

Berlangsung di Jakarta, pertandingan ini diadakan untuk memilih penyertaan Indonesia bagi pertandingan Miss Universe tahun depan di El Salvador.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain