TULAR satu video di media sosial tentang seorang isteri yang bersekedudukan dengan lelaki lain di sebuah rumah. Perlakuan tidak bermoral itu berjaya dihidu suaminya sendiri yang kemudiannya bertindak menyerbu ke lokasi mereka bersama sekumpulan lelaki lain. Dalam video berkenaan, kelihatan seorang lelaki berbaju merah merempuh pintu rumah dengan menendangnya lalu memasuki bilik di mana isterinya berada bersama orang ketiga. Si suami kelihatan berang terus mendapatkan lelaki yang bersama isterinya itu. Dalam keadaan penuh emosi, si suami membelasah lelaki berkenaan sambil ditenangkan isterinya dan beberapa orang yang turut serta dalam serbuan itu. "Sayang! Sayang! Sudah, cukup!," kata wanita itu sambil menangis dan memujuk suaminya. Menurut Ketua Polis Tanjabbar, Pesuruhjaya Adjung (AKPB) Padli, tiada sebarang tangkapan berkait insiden itu memandangkan suami kepada wanita tersebut enggan membuat laporan polis kerana masih cintakan isterinya. "Masalah ini melibatkan kesalahan pengaduan. Jadi jika tidak ada yang melaporkan atau mengadu, kita tidak dapat meneruskan tindakan mengikut undang-undang," katanya. Malah, pihak polis turut menafikan penyebaran maklumat bahawa lelaki bersama wanita itu ditahan pihaknya ketika serbuan dibuat. Kes yang berlaku di Tungkal Ilir, Tanjung Jabung Barat, Jambi di Indonesia tersebut berakhir dengan bermaaf-maafan dan dianggap selesai. - Detik Sumbagsel Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube