suria

Majlis perkahwinan pasangan songsang jadi huru-hara, ada tetamu dicabul!

Antara yang ditahan kerana terbabit dengan perkahwinan sejenis. -Foto tangkap layar video Channels Television

SATU insiden yang menggemparkan penduduk setempat!

Begitulah reaksi masyarakat tempatan apabila terbongkar satu majlis perkahwinan sejenis yang dihadiri ramai pasangan bernafsu songsang.

Dalam kejadian di bandar selatan Ekpan di Warri, Delta, Nigeria, pihak berkuasa menyerbu lokasi yang menganjurkan acara meraikan perkahwinan pasangan gay dan menahan 67 suspek yang terlibat.

Jurucakap pihak polis Delta, Bright Edafe, dalam satu kenyataan berkata pada mulanya 200 individu ditahan berikutan maklumat awam berhubung perkahwinan itu, namun sebahagian besarnya dibebaskan.

Maklumat mengenai perkahwinan itu diperoleh hasil siasatan polis terhadap seorang lelaki yang berpakaian seperti wanita pada 27 Ogos lalu.

Bagaimanapun dalam kenyataan itu tidak dinyatakan maklumat terperinci masa serbuan itu dilakukan.

"Pegawai polis mengejar dan menahan sejumlah 67 suspek kerana mengatur dan menghadiri majlis perkahwinan sejenis tersebut.

"Siasatan lanjut mendedahkan ada seorang tetamu mabuk yang ketika ditahan, disyaki sudah menjadi mangsa dicabul oleh seorang suspek yang pada masa ini masih diburu pihak polis," kata Bright.

Bright menambah, mereka yang ditangkap akan didakwa tidak lama lagi di mahkamah.

Di Nigeria, seperti di kebanyakan negara Afrika, hubungan homoseksual tidak diterima dan undang-undang anti-gay dikuatkuasakan sejak 2013 lagi.

Berpakaian bertentangan jantina tidak menyalahi undang-undang di negara itu tetapi perbuatan itu cenderung tidak diterima secara sosial.

Undang-undang anti-gay di negara itu termasuk hukuman penjara sehingga 14 tahun bagi mereka yang disabitkan bersalah dan melarang perkahwinan gay, hubungan sejenis dan penubuhan keahlian kumpulan gay. - Reuters

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain