TINGKAH laku kanak-kanak pastinya didorong dengan perasaan ingin tahu. Begitulah kisahnya untuk kanak-kanak berumur 10 tahun ini yang menjadi bualan media sosial kerana dengan rela hati menyerah diri ke balai polis. Si cilik itu berbuat demikian selepas diminta oleh ibu bapanya. Terdahulu perbuatan anak kecil dari China tersebut dibongkar oleh ibu bapanya kerana panjang tangan cuba mencuri duit bernilai 800 yuan (RM512) untuk membeli jajan. ARTIKEL BERKAITAN: Kantoi main video game pukul 1 pagi, bapa hukum anak bermain 17 jam tanpa henti Dalam insiden pada 22 Ogos lalu, kanak-kanak itu dibawa bapanya ke balai polis di Ningbo, Zhejiang selepas usahanya gagal. Di balai polis, anak kecil dengan nama keluarga Zhang itu mengaku akan kesalahannya sambil menangis teresak-esak. Walaupun begitu, tanpa diketahui Zhang, anggota di balai polis terbabit sudah berkomplot dengan bapanya untuk menjayakan adegan berkenaan agar dapat memberikan pengajaran berharga kepadanya. Saya tidak akan mengambil duit ibu dan ayah saya... saya tidak akan menipu lagi. ZHANG Dalam pengakuannya, Zhang berkata keluarganya memiliki sebuah kedai runcit yang menjadi tempat untuk dia membeli bekalan makanan ringan. Namun, bapanya mula risau dengan pemakanan Zhang yang tidak sihat itu dan memutuskan untuk mengawal seberapa banyak jajan yang boleh dimakannya dalam suatu masa tertentu. Enggan berkompromi dengan pendekatan bapanya, Zhang membuat satu perancangan rahsia demi memenuhi kemahuannya. Zhang mengambil duit ibu bapanya secara senyap-senyap dan memberikan wang itu kepada rakan sekelas untuk membelikan jajan bagi pihaknya. Seorang anggota polis di balai berkenaan meminta Zhang menulis ikrar yang menyebut dia harus sedar akan kesilapannya dan berusaha untuk tidak mengulanginya lagi. "Kalau kamu jujur bertekad untuk memperbetulkan kesilapan kamu, mari berikrar dan tulis surat untuk memeterainya. Kita boleh betulkan kesilapan yang kamu sudah lakukan satu persatu," kata anggota berkenaan. Akur dengan tawaran itu, Zhang mengangguk dan menulis surat ikrar tersebut. "Saya tidak akan lagi mengambil duit ibu dan ayah saya, saya tidak akan menipu lagi. Saya akan belajar bersungguh-sungguh dan tidak akan bermain ketika dalam kelas. "Saya juga akan menyiapkan semua kerja sekolah tepat pada waktunya," tulis si cilik itu. - SCMP Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube