suria

Wanita jumpa bomoh ikhtiar hamil, akhirnya diperkosa 20 kali hingga mengandung

Seorang wanita seharusnya dilindungi dan bukannya dijadikan tempat melampiaskan nafsu. -Gambar hiasan

PASANGAN suami isteri pastinya mahukan cahaya mata untuk menyerikan rumah tangga.

Namun, ada juga yang tidak berkesempatan untuk menimang anak dan pelbagai usaha dicuba untuk mengubah nasib sedemikian.

Begitulah kisahnya untuk wanita ini yang mendapatkan khidmat bomoh kerana mempercayai tawaran dukun tersebut untuk membantunya mendapatkan zuriat selepas 12 tahun tidak hamil.

Walaupun begitu, sebaliknya pula yang berlaku apabila suri rumah warga Indonesia berkenaan dicabul dan dirogol sebanyak 21 kali oleh bomoh terbabit sehingga akhirnya hamil.

Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Indragiri Hulu Dody Wirawijaya, suspek yang dikenali sebagai DD berumur 47 tahun itu sudah ditahan.

Mangsa rogol pastinya melalui trauma yang mendalam. -Gambar hiasan

Tambahnya lagi, mangsa bomoh tersebut dikenali sebagai SBT dan berumur 34 tahun.

"Suspek mencabul mangsa dengan mendakwa sebagai bomoh yang boleh membantu mangsa mendapatkan zuriat.

"Suspek merogol mangsa sebanyak 20 kali sejak Februari 2021 dan kini mangsa hamil tujuh bulan. Kali terakhir mangsa dirogol dukun itu, pada penghujung Julai lalu.

"Pada awalnya mangsa dan suaminya menemui suspek yang dikenali sebagai bomoh untuk mendapatkan rawatan. Namun pada rawatan susulan mangsa pergi ke tempat suspek seorang diri kerana suaminya bekerja," katanya.

Dody berkata, selepas beberapa kali menjalani rawatan, suspek menawarkan 'perlindungan diri' berupa cincin dan kain yang kononnya didoakan dengan harga upah sebanyak 2.1 juta rupiah (RM612)

Segalanya bermula apabila suspek memberitahu mangsa ada sesuatu yang tidak elok di badan mangsa dan perlu dimandikan dengan air bunga.

"Mangsa bersetuju, kemudian isteri suspek menyediakan mandian air bunga di dalam tandas. Ketika itulah, bomoh itu merogol mangsa.

"Mangsa tidak ada kuasa untuk melawan kerana keliru serta gerun akan bomoh itu. Perbuatan tersebut berterusan sebanyak kira-kira 20 kali. Akhirnya mangsa tidak memaklumkan kejadian itu kepada suaminya kerana rasa bersalah," katanya.

Dody berkata, bomoh itu tidak mahu bertanggungjawab selepas mangsa hamil.

Berikutan dari itu, mangsa melaporkan kejadian ke Balai Polis Daerah Indragiri Hulu dan kes itu masih dalam siasatan. - Berita Satu

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain