DEMI cinta, seorang lelaki sanggup menyamar sebagai doktor dan menyelinap masuk ke hospital untuk mencairkan sampel darah isterinya. Mana tidaknya, isterinya yang dikenali sebagai Huang telah ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk pada 8 Ogos menerusi ujian pernafasan kepekatan alkohol. Ekoran daripada itu, dia dibawa ke hospital untuk ujian darah namun dalam tempoh beberapa jam selepas ujian dilakukan, paras alkohol di dalamnya telah menurun kepada sifar. Keputusan yang tidak dijangka itu mengejutkan para polis sehingga membuatkan mereka melancarkan siasatan. Kira-kira pukul 4.45 pagi pada hari Huang ditahan, mereka telah mendapati suaminya, Zhu telah menyelinap masuk ke hospital dengan menyamar sebagai doktor. Rakaman video pengawasan mendapati dia memasuki makmal pusat penilaian hospital selepas pukul 5 pagi, di mana dia mencairkan sampel darah isterinya dengan air. Pun begitu sampel lebihan darah Huang telah diuji semula dan didapati melebihi had alkohol. Zhu kemudian telah ditahan pihak berkuasa keselamatan awam manakala isterinya menghadapi tuduhan memandu dalam keadaan mabuk. Kisah pasangan dari Dongguan, Tenggara China itu mendapat perhatian warga maya dengan kebanyakannya menyindir tindakan Zhu yang sanggup berkorban untuk isterinya. “Dia hanya perlu mencairkannya sedikit. Mencairkannya terlalu banyak jelas mencurigakan. “Sebagai suami, dia layak. Sebagai ejen rahsia, dia gagal. "Orang gila yang menyayangi isteri," ujar beberapa warga maya dalam talian. Memandu semasa mabuk di China bermakna anda kehilangan lesen selama lima tahun dan dalam kes yang melampau, ia boleh membawa kepada hukuman penjara. - SCMP Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube