SEPASANG suami isteri menyaman syarikat penerbangan American Airlines selepas mereka diusir keluar pesawat kerana didakwa mempunyai masalah bau badan. Pasangan Yahudi Ortodoks itu yang membawa seorang bayi memfailkan saman terhadap American Airlines dengan mendakwa mereka menjadi mangsa diskriminasi agama dan kaum ketika diusir keluar pesawat pada tahun 2019. Dalam tindakan sivil itu, pasangan Yehuda Yosef Adler dan Jennie Adler menceritakan bagaimana mereka mengalami "penghinaan yang tidak tertanggung, rasa malu dan penderitaan mental dan emosi," selepas diusir di hadapan penumpang lain. Ketika kejadian, pasangan itu baru sahaja duduk di dalam pesawat sebelum seorang kru didakwa memberitahu Yehuda Yosef Adler: "Tuan, ada kecemasan dan anda mesti turun dari pesawat. "Sebaik sahaja diusir, ejen defendan memberitahu Adler bahawa juruterbang memutuskan untuk membawa keluarganya keluar daripada pesawat kerana bau badan," ujar peguam Nwadi Nwogu yang berpangkalan di Houston dalam tuntutan saman itu. Dalam satu kenyataan, American Airlines berkata pasangan itu dikeluarkan daripada penerbangan apabila beberapa penumpang mengadu tentang bau badan mereka. Namun, pasangan itu telah diberikan penginapan di sebuah hotel serta baucar makanan percuma sebelum menaiki penerbangan lain pada hari berikutnya- Mirror. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube