suria

Tragis! Kaki gim maut patah leher dihempap barbell 100kg

Seorang lelaki maut ketika mengangkat berat di gim. -Gambar WEIBO

SEORANG lelaki berusia 25 tahun maut patah leher selepas dihempap dengan barbell seberat 100 kilogram (kg).

Rakaman video berdurasi 29 saat menunjukkan mangsa yang dikenali sebagai Zhang, bergelut mengangkat barbell lebih 100kg tanpa pemantauan, di gim pada kira-kira pukul 3 petang Khamis lalu.

Kejadian mengerikan itu berlaku di sebuah gim di Wuhan, China.

Barbell yang beratnya kira-kira 50kg pada setiap hujung, terkena dadanya sebelum ke bahagian leher, dan seterusnya menekan kepala mangsa ke bangku.

Dalam tempoh 25 saat, Zhang cuba untuk menyelamatkan diri.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi ngeri, influencer sado Justyn Vicky maut selepas angkat berat 210kg... Sering nasihat rakan hati-hati di gim

Pada satu ketika, dia cuba menanggalkan tali pinggang angkat berat yang dipakainya.

Bagaimanapun, dia kemudian mengalami kekejangan yang teruk dan tiba-tiba sukar bernafas.

Keadaan Zhang hanya disedari orang lain lebih seminit kemudian. Dua pekerja gim berlari ke arah Zhang untuk mengangkat barbell berkenaan.

Zhang dikejarkan ke hospital, namun dia kemudian disahkan meninggal dunia.

Seorang wakil Kelab Kecergasan Wuhan Pafik berkata, Zhang pernah dilihat berkunjung ke gim itu.

Namun, tidak dipastikan sebab Zhang mengangkat barbell 100kg tanpa pemantauan, dan polis kini menyiasat kes berkenaan.

Sebelum ini, kejadian sama berlaku di Bali, Indonesia, di mana jurulatih kecergasan, Justyn Vicky, 33, meninggal dunia akibat patah leher ketika cuba mengangkat barbell hampir 210kg. - The Straits Times/ANN

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain