UBAT kuat sinonim dengan masyarakat Melayu dan nusantara sama ada di Malaysia, Thailand mahupun Indonesia. Malah ia dijual secara berleluasa di sesetengah kawasan peranginan tumpuan kerana mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat tempatan dan luar negara. Disebabkan itu ada yang bertindak mencurinya kerana ingin mencuba seperti yang dilakukan salah seorang pelancong warga asing di Bandung, Indonesia. Menerusi laporan Okezone, lelaki warga Australia itu bertindak mencuri ubat kuat dari sebuah kedai ubat-ubatan pada Sabtu. Perbuatannya itu kemudian tular selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu dimuat naik di media sosial. Berdasarkan rakaman, dia yang berusia 18 tahun dilihat masuk ke premis berkenaan bersama beberapa lagi rakan. Bagi mengaburi mata pekerja kedai, dua daripada mereka yang berbadan gempal dan penuh tatu berpura-pura membeli ubat. Seorang lagi bertanyakan tentang ubat-ubatan yang ingin dibeli daripada peniaga berkenaan. Ketika peniaga sedang leka, dia mengambil dan memasukkan ubat tersebut ke dalam saku seluar sebelum beredar bersama rakan-rakan. Susulan kecurian tersebut, premis berkenaan mengalami kerugian kira-kira RM225 (740,000 rupiah). Pun begitu kesemua mereka berjaya ditahan pihak berkuasa dan didakwa atas kesalahan yang dilakukan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube