CINTA yang dikhianati pastinya akan memilukan hati. Harapan menggunung punah begitu sahaja, nasib sedemikian ada kalanya boleh mendorong seseorang itu untuk hilang kewarasan akal. Begitulah kisahnya untuk seorang pemuda di bandar Pasuruan, Jawa Timur, Indonesia ini apabila dia mengamuk dan merosakkan rumah jirannya kerana kecewa akibat putus cinta. Tindakan individu lelaki berusia 23 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai MAF itu menyebabkan penduduk setempat panik. MAF dikatakan melepakan amarahnya apabila dia ditinggalkan kekasih yang ingin berkahwin dengan orang lain. Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial menunjukkan MAF berjalan di sekitar kampung Desa Sumbersuko dan kemudiannya memanjat bumbung rumah seorang penduduk. Kedengaran suara jeritan seorang lelaki dan wanita melihat tindakan MAF itu. MAF ketika di atas bumbung rumah tersebut bertindak merosakkan jubin dan mencampaknya ke tanah. "Sebab perempuan dia jadi sedemikian," kata seorang saksi kejadian. Penduduk kampung akhirnya berjaya memujuk MAF untuk turun sebelum dia ditahan polis tempatan. Empat buah rumah penduduk dilaporkan mengalami kerosakan pada bumbung, genting dan siling akibat perbuatan MAF itu. - TribunNews.com Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube