SEORANG warga emas berusia 104 tahun yang membuat terjunan udara awal bulan ini, dilaporkan telah meninggal dunia. Berkongsi tentang wanita yang diperakui oleh Guinness World Records sebagai orang tertua membuat terjunan dari pesawat ini, jururawat Joe Conant berkata, dia ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri pada Isnin. "Dorothy Hoffner meninggal dunia dalam tidurnya pada malam Ahad. “Dia tidak kenal lelah dan bukanlah seseorang yang akan tidur siang pada waktu petang, atau tidak hadir untuk sebarang majlis, makan malam atau apa-apa lagi," ujarnya. Pada 1 Oktober, Hoffner membuat terjun payung bersama-sama yang merekodkannya sebagai terjun payung tertua di dunia. Dia melompat keluar dari pesawat berketinggian 13,500 kaki (4,100 meter) di Skydive Chicago di Ottawa, Illinois, 85 batu (140 kilometer) barat daya Chicago. "Usia hanyalah angka," kata Hoffner kepada penonton yang bersorak sejurus selepas mendarat. Ia bukan kali pertama dia melompat dari kapal terbang, kali pertama dilakukan ketika dia berumur 100 tahun. Conant berkata Hoffner tidak melakukan skydive untuk memecahkan rekod sebaliknya dia sangat menikmati lompatan pertamanya sehingga mahu melakukannya sekali lagi. Conant berkata Hoffner bekerja selama lebih empat dekad sebagai pengendali telefon dengan Illinois Bell, yang kemudiannya menjadi AT&T, dan bersara 43 tahun lalu. Penduduk Chicago seumur hidup itu tidak pernah berkahwin, dan Conant berkata dia tidak mempunyai ahli keluarga terdekat. Upacara peringatan untuk Hoffner akan diadakan pada awal November. - Mirror.co Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube