KETIKA sedang asyik menikmati hidangan mookatanya (barbeku-steamboat ala Thai) di sebuah restoran di Bangkok, Thailand, seorang wanita tiba-tiba mengejutkan pemilik premis tersebut apabila air ketubannya pecah. Dalam keadaan yang genting itu, wanita tersebut bagaimanapun sempat membuat permintaan yang aneh. Dia meminta kakitangan restoran tersebut supaya tidak mengemas serta membersihkan mejanya, kerana mahu kembali semula dan menyambung menikmati makanannya jika belum tiba masa untuk bersalin. Pengurus restoran tersebut, Yuthaphum Kaewkhem atau dikenali sebagai Boom, berkongsi mengenai kejadian itu dalam catatan di Facebook pada Isnin (16 Oktober). Ceritanya, ketika kakitangan restoran sedang mengatur pengangkutan ke hospital dengan segera, wanita itu berkali-kali berkata dia akan kembali semula untuk menghabiskan makanannya yang berbaki sedikit sahaja lagi. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada wanita itu menikmati hidangan seorang diri atau bersama individu lain. Dalam catatan susulan pada keesokan harinya, Boom mendedahkan bahawa dia telah melawat wanita tersebut dan bayi yang dilahirkannya di hospital. Boom turut berkongsi foto mereka di dalam hantarannya. -AsiaOne Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube